AM > BERITA

Lapan Sekolah Pengajaran Islam Persendirian Di Selangor Diarah Tutup

25/09/2024 08:51 PM

SHAH ALAM, 25 Sept (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengarahkan lapan sekolah pengajaran Islam persendirian yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu ditutup.

Premis terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Islam Global Ikhwan (Banat), Sekolah Rendah Islam (SRI) Yaqutul Fuad dan SRI Integrasi Bustanul Ikhwani di Rawang, SRI Integrasi Qurratul Ain dan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly di Sepang, SRI Miftahul Hikmah di Klang, SM Islam Zadut Taqwa 2 di Puchong dan SM Islam Zadut Taqwa 1 di Shah Alam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata arahan itu dibuat selepas pemeriksaan dan siasatan mendapati kesemua premis melanggar peruntukan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

"Berdasarkan maklumat yang diterima berhubung dengan premis dan rumah amal di Selangor yang dikaitkan dengan GISBH, hanya terdapat lapan premis yang digunakan oleh GISBH atau rangkaiannya telah didaftarkan sebagai Sekolah Islam Persendirian di bawah EPSAI 1988. 

"Tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada EPSAI 1988," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata Pegawai Penguatkuasa Agama sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dengan GISBH dan rangkaiannya bagi kesalahan berkaitan Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum ia dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk tindakan lanjut.

Abdul Aziz juga berkata MAIS akan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang kini ditempatkan di rumah kawalan JKM. 

Beliau berkata MAIS juga akan mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH yang terletak di Bandar Country Homes, Rawang sehingga siasatan terhadap syarikat itu selesai.

"MAIS juga menubuhkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia, JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya," kata Abdul Aziz. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan