AM > BERITA

Malaysia Berupaya Bantu Negara Jiran Bangun Produk Kewangan Islam

01/10/2024 06:40 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia mempunyai keupayaan serta potensi untuk membantu negara-negara jiran membangunkan produk kewangan Islam di negara masing-masing, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pergas Investment Holdings Singapura Dr Shamsiah Abdul Karim.

Bercakap pada Forum Serantau YAPEIM (FSY) 2024, beliau berkata di Singapura misalnya, masih belum ada produk takaful yang patuh syariah tersedia, dan Malaysia boleh mengambil peluang berkenaan untuk membantu membangunkan produk buat umat Islam di negara itu. 

"Kita perlu bekerjasama dalam melihat kaedah untuk menstrukturkan kewangan Islam di Singapura. Banyak kerangka dan sistem (kewangan Islam) tersedia di Malaysia yang boleh diadaptasikan di Singapura. 

"Saya sarankan Malaysia membantu kerana masyarakat (Islam di Singapura) perlukan pembiayaan patuh syariah," katanya semasa menjadi ahli panel pada forum bertajuk "Pembangunan Ekonomi Islam Pasca Normal: Takrifan, Cabaran dan Tindakan" bersempena dengan FSY 2024 yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini hari ini.

Sementara itu, Komisar Utama PT. Bank Mega Syariah (Indonesia) Mohammad Nuh yang juga ahli panel berkata semua pihak perlu optimis bahawa negara-negara Nusantara di Asia Tenggara mempunyai potensi yang sangat besar untuk muncul sebagai antara pusat ekonomi terbesar di dunia. 

Beliau berkata hal ini kerana rantau ini mempunyai populasi yang besar, peradaban serta iltizam untuk menjana perindustrian dan ekonomi yang berdaya saing. 

"Tiga faktor ini mendasari mengapa kita harus optimis bahawa akan wujud peradaban dan perindustrian yang luar biasa di rantau ini," katanya.

Namun, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat masih banyak yang perlu dilakukan oleh negara-negara Nusantara untuk meningkatkan daya saing ekonomi, terutamanya dalam sektor kewangan Islam.

Beliau berkata walaupun negara Nusantara, termasuk Malaysia, merekodkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, tetapi masalah asas seperti jurang pendapatan masih belum diselesaikan. 

"Perlu ada program-program yang membolehkan pengagihan kekayaan daripada yang kaya kepada miskin secara berkesan. Instrumen kewangan seperti zakat, wakaf dan infak perlu diperkasakan," katanya.

FSY 2024 berlangsung hingga esok bagi membincangkan strategi baharu dan inisiatif praktikal untuk memajukan ekonomi serta kewangan Islam di rantau Asia Tenggara.

Forum bertemakan "Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau" itu  menghimpunkan hampir 60 penceramah serta ahli panel dari dalam dan luar negara.

Antara topik yang akan dikupas ialah usaha memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi digital; industri halal dan pelancongan Islam serta pemerkasaan institusi dan agensi Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan