AM > BERITA

BORA, Respect Promosi Kaedah Baharu Urus Konflik Gajah-Manusia

01/10/2024 09:03 PM

LAHAD DATU, 1 Okt (Bernama) -- Badan bukan kerajaan Borneo Rhino Alliance (BORA) dan Responsible Elephant Conservation Trust (RESPECT) mempromosikan kaedah baharu dalam menguruskan konflik antara gajah dengan manusia di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BORA Datuk Dr John Payne berkata pendekatan itu termasuk membangunkan kawasan makanan gajah di lokasi tertentu, jauh dari kawasan ladang dan kebun, dan penuh dengan rumput subur dan mineral tambahan.

Beliau berkata idea itu bagi menyediakan makanan alternatif kepada gajah yang menarik perhatian haiwan itu seperti pokok kelapa sawit.

"Beberapa spesies rumput termasuk Napier dan rumput liar asli dengan nama tempatan iaitu barau, terbukti paling popular daripada 150 atau lebih jenis rumput Malaysia untuk gajah di Sabah.   

"Mengalih tumpuan gajah daripada pokok kelapa sawit ialah cabaran lebih besar, tetapi ia boleh berjaya dengan usaha, konsistensi dan kesabaran. Kami telah membangunkan pendekatan ini di Taman Hidupan Liar Tabin sejak 2021, dan usaha itu kini mula membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Payne yang juga pemegang amanah RESPECT berkata gajah liar datang ke kawasan makanan itu beberapa kali setahun dan mamalia itu amat menyukainya.

Beliau berkata setelah membuktikan konsep itu, langkah seterusnya ialah meyakinkan jabatan perhutanan dan pemilik tanah besar seperti ladang kelapa sawit, untuk memperuntukkan kawasan kecil yang strategik bagi membangunkan lebih banyak padang ragut di sempadan ladang hutan.

Dr Payne berkata hanya kawasan kecil iaitu beberapa hektar yang diperlukan di mana-mana padang ragut untuk menanam rumput yang tinggi dan subur.

Beliau berkata rumput yang ditanam di kawasan tanah yang baik dapat menghasilkan 80 tan daun dan batang rumput yang boleh dimakan sehektar setahun.

"Terima kasih kepada rakan kami, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, The Hornbill Award, Yayasan CIMB, KLK, Tradewinds, Tabin Wildlife Resort dan pihak lain kerana mempercayai bahawa usaha ini ialah permulaan berbaloi kepada pendekatan baharu bagi pengurusan hidupan liar," katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan