AM > BERITA

Fahmi Mahu Organisasi Media Berkaitan Segera Lunas Isu Tunggakan Gaji

02/10/2024 01:19 PM

Daripada Hasnah Jusid

BUSAN, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa organisasi media yang menghadapi isu tunggakan gaji petugas agar segera menyelesaikan bayaran tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan tidak membayar gaji pengamal media selama beberapa bulan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya berpendapat ini tidak sepatutnya berlaku, organisasi media tersebut wajib melunaskan tunggakan gaji kepada para pekerja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Fahmi kini sedang dalam lawatan kerja ke Korea Selatan selama tiga hari bermula pada 30 Sept.

Katanya, beliau juga bersedia menjadi perantara bagi pihak pengamal media dan majikan masing-masing untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu tersebut.

Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) telah menggesa pihak majikan yang mewakili pengamal media The Malaysian Insight dan The Vibes untuk segera melangsaikan tunggakan gaji yang tidak dibayar selama beberapa bulan.

Menurut mereka, perkara ini jelas merupakan satu bentuk penindasan yang mencerminkan kelemahan pengurusan di pihak majikan itu sendiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan