SUKAN > BERITA

BEBERAPA LALUAN DI MIRI DITUTUP, DILENCONGKAN SEMPENA LTDL SABTU INI

02/10/2024 09:50 PM

KUCHING, 2 Okt (Bernama) -- Beberapa jalan di bandar raya Miri dan Jalan Pesisir Pantai menuju ke Bintulu akan ditutup serta dilencongkan pada Sabtu ini bersempena dengan acara perlumbaan berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 Peringkat Tujuh yang berlangsung di bahagian utara Sarawak.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata penutupan dan lencongan akan dibuat seawal pukul 5.30 pagi sehingga selesai acara perlumbaan yang melibatkan jarak sejauh 199.3 kilometer.

Beliau berkata jalan yang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat ialah Jalan Sungai Baong, Simpang Jalan Permaisuri, Lampu Isyarat Sehati, Bulatan Sehati, Lampu Isyarat Parkson dan Simpang Grand Old Lady (GOL).

Turut terlibat ialah Bulatan Puchong, Simpang Jalan Hainam, Simpang Jalan Cahaya, Lampu Isyarat Hilltop, Kawasan Letak Kenderaan Awam (Hadapan Pullman Miri Waterfront), Kawasan Letak Kenderaan Awam (berhampiran Imperial Palace Hotel) dan sepanjang Jalan Pesisir Pantai ke Bintulu.

"Perlumbaan basikal ini akan bermula dari Waterfront, Miri dan berakhir di Lasar Kenyalang Bintulu yang akan disertai sebanyak 22 pasukan dan 132 pelumba.

"Bagi memastikan perlumbaan yang telah dijadualkan ini berjalan dengan lancar dan selamat, pihak polis akan memastikan aspek keselamatan dan lalu lintas terkawal semasa perlumbaan berlangsung," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Alexson berkata orang awam dinasihatkan untuk memilih laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang boleh mengganggu kelancaran perlumbaan.

"Selain itu, bagi mereka yang ingin menghala ke Bekenu dan Batu Niah bolehlah menggunakan Jalan Pan Borneo," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan