AM > BERITA

Terlibat Kemalangan Tidak Halang Impian Hariz Bergelar Mahasiswa

02/10/2024 05:30 PM

NILAI, 2 Okt (Bernama) -- ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Inilah peribahasa sesuai menggambarkan kesungguhan dan semangat Hariz Zaimuddin untuk menyambung pengajian walaupun terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan bersama keluarganya ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini malam tadi.

Setelah semalaman tidak tidur kerana menguruskan hal berkaitan kemalangan yang berlaku di Jalan Kuantan, Pahang itu Hariz, 19, berasal dari Pasir Mas, Kelantan berjaya juga tiba di USIM pada 11.30 pagi untuk sesi pendaftaran pelajar baharu.

“Alhamdulillah kami semua selamat. Terima kasih kepada insan berhati mulia kerana sudi pinjamkan keretanya untuk kami walaupun tidak pernah kenal tetapi saya bersyukur kerana mereka sudi tolong kami sekeluarga hinggalah saya dapat mendaftar pada hari ini di USIM.

“Apa yang berlaku pada saya dan keluarga tidak mematahkan semangat untuk hadir mendaftar hari ini, saya memang telah lama impikan untuk melanjutkan pelajaran di USIM,” katanya yang yang mengikuti pengajian dalam Jurusan Bahasa Arab dan Kesusteraan Islam.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata kereta yang dipandu bapanya Zaimudin Hassan, 48, dalam perjalanan dari Pasir Mas itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di Jalan Kuantankira-kira 12 tengah malam tadi.

Hariz berkata ketika kejadian, dia bersama empat ahli keluarga lain sedang tidur dan  terjaga sebaik sahaja kepalanya terhantuk pada penyaman udara di bahagian tengah kereta.

“Kami sangat terkejut, bagaimanapun saya bersyukur tiada apa yang teruk berlaku. Saya hanya mengalami cedera ringan di kepala akibat terhantuk manakala ayah, ibu dan adik-beradik lain selamat tanpa kecederaan," katanya.

Hariz merupakan antara 2,718 pelajar baharu Sesi Akademik 2024/2025 yang ditawarkan tempat untuk mengikuti program pengajian Sarjana Muda di USIM pada hari ini dengan proses pendaftaran secara fizikal telah diadakan sejak semalam.

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Sharifuddin Md Shaarani berkata buat julung kalinya pada tahun ini terdapat seorang pelajar Orang Asli berjaya menempatkan diri di USIM selain empat pelajar dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, pelajar Orang Asli Nurul Atiqa Ithnani Idrus, 19, yang bercita-cita menjadi doktor gigi bersyukur kerana impiannya untuk melanjutkan pengajian di Fakulti Pergigian USIM tercapai.

"Kalau doktor masuk ke perkampungan orang asli itu sudah biasa, tetapi kalau doktor gigi yang masuk dan beri perkhidmatan percuma itu jarang berlaku. Saya berhasrat menjadi doktor gigi dan dapat berkhidmat untuk masyarakat orang asli satu hari nanti," kata anak kedua daripada tiga beradik dari Felda Terasang, Pahang itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan