AM > BERITA

Lebih 60 Peneraju Industri Dihimpunkan Di Pesta Kerjaya UTP

03/10/2024 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pameran Teknologi, Pendidikan & Kerjaya 2024 (TEC24) yang dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya mengumpulkan lebih 60 syarikat terkemuka daripada pelbagai industri.

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pameran yang berlangsung di universiti itu di Seri Iskandar, Perak dari 2 Okt hingga hari ini menampilkan pemain industri terkemuka seperti Petronas, ExxonMobil, SLB, Deloitte dan Huawei, menyediakan ruang kepada graduan masa depan untuk mempamerkan kemahiran mereka dan berhubung terus dengan bakal majikan.

Bertemakan Unveiling Hidden Talents, TEC24 menawarkan platform unik kepada pelajar dan profesional untuk meneroka laluan kerjaya, mendapatkan nasihat, berhubung dengan bakal majikan sambil memperoleh pandangan berharga mengenai pasaran pekerjaan.

"TEC24 turut melengkapkan pelajar dengan kemahiran kerjaya penting melalui perkhidmatan percuma seperti klinik resume, sesi latihan temuduga dan klinik LinkedIn.

"Acara ini menyediakan platform yang sangat bernilai untuk pelajar berhubung dengan pemimpin industri dan meneroka aspirasi kerjaya mereka. Menerusi sokongan lebih daripada 60 syarikat terkemuka dan bimbingan pakar industri, para hadirin memperoleh pandangan berharga serta kemahiran praktikal bagi mempersiapkan diri untuk perjalanan profesional mereka," menurut kenyataan itu.

UTP berkata pameran ini membolehkan hadirin mempelajari peluang-peluang potensi mereka menerusi ceramah, perbincangan dan bengkel yang direka untuk membantu mengenal pasti laluan kerjaya masa depan.

Pameran yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman bersama Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

“TEC24 mengesahkan komitmen UTP untuk melahirkan bakat global yang seimbang, memupuk kerjasama antara industri dan akademia serta meningkatkan peluang akademik dan profesional untuk pelajar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan