AM > BERITA

Syed Hussien Angkat Sumpah Sebagai ADUN Mahkota

03/10/2024 02:16 PM

JOHOR BAHRU, 3 Okt (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Syed Hussien, 40, ketika mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau bersumpah akan menyempurnakan kewajipan sebagai ADUN dengan tulus dan ikhlas.

“Saya juga bersumpah akan memelihara dan mempertahankan undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor,” kata Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota Sabtu lepas, Syed Hussien yang mewakili Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Sementara itu, DUN Johor turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sharifah Azizah sebelum memulakan sidang berkenaan.

“Dukacita dimaklumkan Allahyarhamah Sharifah Azizah mula berkhidmat sebagai ADUN Penawar pada 2018 hingga 2022 dan ADUN Mahkota pada Mac 2022 hingga beliau kembali ke rahmatullah pada 2 Ogos 2024. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata Mohd Puad.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022 Sharifah Azizah, yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor menang dengan majoriti 5,166 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman Mohamad Nor Lingan (PN) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan