EKONOMI > BERITA

AIRBNB HARAP SOKONGAN KERAJAAN, SAHKAN GARIS PANDUAN STRA DALAM BELANJAWAN 2025

03/10/2024 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Airbnb berharap kerajaan menyokong dan mengesahkan garis panduan penginapan sewa jangka pendek (STRA) negara serta mengiktiraf potensi ekonomi perkongsian dalam sektor hospitaliti menerusi Belanjawan 2025. 

Ia juga berharap kerajaan menggalakkan semakan semula yang adil dan praktikal terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 bagi memastikan kerangka peraturan praktikal sekali gus menyokong pembangunan pelancongan mampan tanpa mengekang potensi sektor ini.

"Bagi memastikan semua penyedia penginapan dapat meraih manfaat sama rata, Airbnb menggesa supaya beberapa insentif utama yang kini dikhususkan kepada penggiat pelancongan tradisional seperti geran dan insentif perjalanan diperluas kepada tuan rumah STRA (baik individu mahupun perusahaan kecil dan sederhana) bagi meningkatkan pemerkasaan ekonomi dan menyokong pemulihan lebih inklusif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Dasar Awam Airbnb Asia Pasifik Mich Goh berkata garis panduan tersebut akan menjadi pertama seumpamanya di Asia Tenggara, sekali gus mencerminkan dinamisme Malaysia dalam menerima inovasi untuk memacu industri pelancongan.

Beliau berkata Airbnb menggalakkan kerajaan untuk meneroka inisiatif bagi membolehkan rakyat Malaysia meringankan kos pembelian rumah pertama melalui pendapatan yang dijana daripada aktiviti STRA.

 "Skim pembiayaan khusus dengan kerjasama institusi kewangan dapat membantu pemilik rumah dalam kalangan orang muda untuk memanfaatkan pendapatan sebagai tuan rumah bagi meringankan beban kewangan.

"Airbnb kekal komited sebagai rakan kongsi kerajaan Malaysia dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta mencipta penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua penggiat dalam sektor ini, termasuk komuniti tuan rumah kami," kata Goh.

Beliau berharap Airbnb dan komunitinya akan dapat terus menyumbang dalam usaha memacu industri pelancongan Malaysia ke masa hadapan yang lebih mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan