LELAKI TERJATUH SEMASA LAKUKAN KERJA PENYELENGGARAAN KERETA KABEL LANGKAWI

03/10/2024 04:45 PM

ALOR SETAR, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang terjatuh ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan kereta kabel di Langkawi hari ini.

Ketua Zon 4 Langkawi JBPM Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.15 tengah hari sebelum tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

"Kejadian melibatkan seorang mangsa Khairul Nizam Jaffar, 41, yang merupakan pekerja penyelenggaraan kereta kabel yang dipercayai terjatuh ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di tingkat dua.

"Dianggarkan mangsa jatuh dari ketinggian antara 40 hingga 50 meter dan keadaan mangsa masih belum diketahui lagi kerana kedudukan mangsa jauh di bawah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam proses untuk turun bagi mencari dan mengesan mangsa sebelum membawa mangsa ke tempat yang selamat untuk tindakan susulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan