AM > BERITA

Industri Kreatif Digital Malaysia Berkembang, Perolehan RM6.3 Bilion - Gobind

03/10/2024 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Malaysia kini menempatkan lebih 300 studio kandungan digital, dengan lebih 180 harta intelek (IP) asli dalam bidang animasi dan permainan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pada 2022, industri kreatif digital menjana perolehan sebanyak RM6.3 bilion, mencatatkan eksport berjumlah RM850 juta, yang menyumbang kepada lebih 11,000 pekerjaan.

Industri ini turut menarik pelaburan berjumlah RM1.6 bilion daripada studio utama seperti Xsolla dan ESL Gaming pada 2023.

“Ini menggariskan potensi besar sektor ini untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi,” katanya dalam ucaptama sebelum merasmikan Biz Day 2024 di Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia turut melakar kejayaan penting dalam sektor animasi, dengan Kucingko Bhd menjadi syarikat pengeluaran animasi tempatan pertama yang disenaraikan di bursa saham Malaysia.

Menurutnya permintaan terhadap produk dan perkhidmatan kreatif digital semakin meningkat di peringkat tempatan dan antarabangsa, dengan saiz pasaran teknologi kreatif global dijangka mencecah US$687.4 bilion menjelang 2027 manakala kadar pertumbuhan tahunan terkumpul berjumlah 9.97 peratus antara 2020 dan 2027.

Pada masa yang sama, subsektor dalam industri teknologi kreatif turut berkembang maju, dengan saiz pasaran animasi global dijangka meningkat kepada lebih US$587 bilion pada 2030.

"Pasaran permainan global juga sedang berkembang pesat, seiring dengan fenomena pendigitalan global," katanya.

Dengan memetik Laporan Pasaran Permainan Global Newzoo, beliau berkata pendapatan permainan global bernilai US$187.7 bilion pada 2024 dan dijangka menokok kepada US$213.3 bilion pada 2027.

Gobind dalam ucapannya turut mengakui kepentingan teknologi mendalam seperti Metaverse.

Beliau berkata Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melancarkan inisiatif IP360 Metaverse di festival ini bagi edisi tahun lepas.

“Saya sebelum ini diberikan taklimat bahawa Platform IP360 Metaverse akan dibuka kepada orang ramai menjelang akhir tahun ini. Saya menggesa pemain industri untuk meneroka potensi platform ini,” katanya.

Menurut Gobind, laporan daripada Meta dan Deloitte menjangka Metaverse menyumbang kira-kira US$3.01 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar global pada 2031.

Impak Metaverse kepada rantau Asia Pasifik pula diunjur antara US$800 bilion dan US$1.4 trilion setahun menjelang 2035.

Mengenai peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, beliau berkata Malaysia akan bekerjasama erat dengan negara jiran dan meneroka fasa pertumbuhan digital seterusnya.

“Menerusi kerjasama, kepimpinan dasar, dan pembangunan infrastruktur, Malaysia boleh mengukuhkan ekosistem kandungan digital, memupuk inovasi, dan menempatkan diri sebagai peneraju serantau dalam penciptaan dan pengedaran kandungan digital.

“Ini bukan sahaja merangsang ekonomi tempatan malah mewujudkan rangkaian kandungan digital yang dinamik dan saling berkaitan di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan