AM > BERITA

Projek Institut Perubatan Forensik Negara HKL Baharu Dijangka Siap 6 Okt 2026

03/10/2024 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang baharu dijangka siap sepenuhnya pada 6 Okt 2026, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata kemajuan fizikal tapak projek fasiliti kefungsian forensik lengkap dalam sebuah bangunan yang pertama di Asia Tenggara itu telah mencapai 21.62 peratus setakat September lepas. 

“Projek ini dibina oleh syarikat Gadang Engineering Sdn Bhd dengan kos bernilai RM188 juta menggunakan kaedah secara reka dan bina,” katanya kepada pemberita sebelum meninjau kemajuan kerja pembinaan IPFN HKL di bawah seliaan Pasukan Projek Khas 1 Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini.

Beliau berkata projek tersebut juga menggunakan sepenuhnya teknologi Sistem Bangunan Industri (IBS) bagi pembinaan blok utama manakala pengurusan kerja-kerja pembinaan di tapak dilaksanakan menggunakan aplikasi “Building Information Modelling” (BIM) bagi memudahkan penyelarasan kerja termasuk penyelenggaraan di masa hadapan. 

Ahmad berkata IPFN itu juga akan dilengkapi panel solar yang dibina melibatkan 30 peratus keluasan bumbung projek dan dijangka menjana penggunaan elektrik sebanyak 316 kilowatt peak (kWp) yang mampu memberikan penjimatan elektrik hingga RM99,250 setahun kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, beliau berkata projek itu juga telah memperoleh pencapaian pengiktirafan lima bintang bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) tahun ini.

“Projek ini mempunyai empat skop kerja yang merangkumi pembinaan blok IPFN setinggi empat tingkat, blok bangunan Stor Kimia Bersepadu setinggi dua tingkat, blok bangunan Mekanikal dan Elektrikal serta Stor Sisa Kimia setinggi tiga tingkat dan membina bangunan sokongan dan kerja-kerja infra,” katanya.

Beliau berkata IPFN ini juga bakal dilengkapi dengan kemudahan dewan autopsi bagi patologi forensik, bilik autopsi bagi Biosafety Tahap 3 (BSL3), muzium perubatan forensik serta kemudahan penyelidikan dan latihan untuk pegawai perubatan serta petugas kesihatan.

“IPFN ini bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan forensik seperti patologi forensik, klinikal forensik, odontologi forensik, radiologi forensik, makmal forensik bersepadu, Bank Tisu dan Tulang serta Pusat Penyelidikan Transplan Nasional (NTRC),” katanya.

Sementara itu, beliau berharap pasukan pengurus dan pembinaan projek tersebut dapat mengekalkan momentum penyiapan dengan menepati kualiti yang ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan