AM > BERITA

JKR Pulau Pinang Ambil Tindakan Segera Isu Jalan Rosak

03/10/2024 09:15 PM

GEORGE TOWN, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang akan membuat siasatan dan mengambil tindakan segera ke atas jalan berlubang yang terdapat di negeri itu seperti laporan akhbar. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata orang ramai yang mempunyai aduan berhubung jalan berlubang boleh membuat aduan melalui saluran-saluran rasmi JKR seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISSPA), MyJalan, email aduan dan talian aduan.

"Pihak JKR Pulau Pinang akan membuat siasatan dan mengambil tindakan segera ke atas jalan berlubang di lokasi-lokasi yang berkaitan.

"Pihak JKR sentiasa memperkemaskan pasukannya di setiap JKR daerah supaya memantau kerosakan jalan dan mengambil tindakan segera. Selain itu, JKR juga akan sentiasa memastikan penyelenggaraan jalan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan piawaian jabatan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media hari ini yang melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak berkaitan mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di negeri ini.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader dilaporkan berkata menerusi tinjauan CAP,  terdapat banyak jalan berlubang antaranya Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak dan Jalan Bukit Gambi serta permukaannya yang tidak rata sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata jalan berlubang berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kehadiran air yang merupakan ejen pengancam, mengganggu struktur tanah dan seterusnya akan melemahkan struktur jalan.

Beliau berkata selain itu, kualiti turapan semula jalan oleh kontraktor utiliti yang tidak memuaskan dan kenderaan lebih muatan juga menyebabkan jalan rosak.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan