AM > BERITA

Kerja Pembesaran Persimpangan Jalan Di Kluang Dijadual Siap November Ini

25/09/2024 02:35 PM

KLUANG, 25 Sept (Bernama) -- Kerja pembesaran lorong persimpangan Jalan Persekutuan-FT50 Batu Pahat-Mersing di sini yang melibatkan peruntukan bernilai RM500,000 dijadualkan siap akhir November ini. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerja pembesaran lorong persimpangan Jalan Ismail menuju Jalan Mengkibol dan Jalan Hospital ke Jalan Station di bawah landasan keretapi Kluang itu akan bermula dalam masa terdekat. 

"Kawasan ini kerap berlaku 'cerutan' dan mengalami kesesakan yang teruk pada waktu puncak, hujung minggu dan cuti sekolah menyebabkan kerajaan bersetuju dengan permohonan dua wakil rakyat di sini untuk projek ini dilaksanakan," katanya. 

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi projek itu hari ini yang disertai Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Chew Chong Sin. 

Beliau menyifatkan pelaksanaan projek itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat selain selaras dengan komitmen kerajaan menyediakan infrastruktur yang baik dan selamat. 

Sementara itu, berhubung masalah banjir di Kluang, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menghantar permohonan rancangan induk untuk mengatasi masalah itu yang antaranya melibatkan kawasan Kampung Padang Tembak, Kampung Paya serta Kampung Sembrong.

Perbincangan dengan pihak Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga akan diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh, katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan