AM > BERITA

MTL: JPS Kenal Pasti 4,619 "Hotspot" Banjir Seluruh Negara - Ahmad Zahid

03/10/2024 10:56 PM

KOTA TINGGI, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 4,619 kawasan "hotspot" banjir di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemantauan banjir berterusan akan dilakukan JPS melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dengan sokongan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan kerajaan negeri.

Beliau berkata ia termasuk menempatkan 543 siren amaran banjir dan 737 pam bergerak di seluruh negara sekali gus menyarankan agar peruntukan dikeluarkan bagi menambah pembelian pam bergerak.

Ahmad Zahid berkata pihak JPS juga akan memantau empangan-empangan yang berusia melebihi 50 tahun, khususnya yang mempunyai isi padu besar dan tinggi, selain mengenal pasti langkah-langkah intervensi yang perlu diambil.

“Projek-projek tebatan banjir di seluruh negara juga perlu dipantau dengan teliti supaya tidak berlaku sebarang kelewatan bagi mengurangkan impak banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 2 bagi 2024 yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta agensi teknikal dan tindak balas di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengenal pasti sebanyak 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menempatkan 2.15 juta mangsa banjir dan kemudahan asas turut diberikan perhatian.

Beliau berkata bantuan makanan secara tidak terhad juga akan diberikan kepada mereka yang terlibat dengan bencana MTL dan bencana sepanjang tahun sekali gus meminta kerajaan negeri menyalurkan segera peruntukan diberi melalui NADMA ke daerah-daerah terutama yang berisiko untuk persiapan menghadapi bencana banjir.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata MetMalaysia memaklumkan MTL dijangka bermula pada awal November ini hingga Mac 2025 manakala cuaca dijangka lebih lembap di Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada November hingga Disember tahun ini.

Pada Januari hingga Februari 2025 pula menurutnya, cuaca dijangka lembap di Johor, Sarawak dan Sabah, selain Fenomena La Nina yang dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan hingga pertengahan 2025.

“Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan monsun. 

“Dijangkakan terdapat lima hingga tujuh luruan monsun yang membawa episod hujan lebat dan berterusan, terutamanya di pantai timur Semenanjung, selatan dan barat Sarawak serta utara dan timur Sabah," katanya. 

Beliau berkata hujan dijangka berkurangan di utara Semenanjung bermula Januari 2025 manakala timur Semenanjung pula bermula Februari serta disusuli dengan cuaca panas dan kering hingga Mei selepas itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan