AM > BERITA

Umat Islam Diseru Jauhkan Diri Dari Fahaman, Ajaran GISBH

04/10/2024 06:38 PM

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) -- Umat Islam di Selangor diseru untuk menjauhkan diri daripada ajaran dan amalan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kerana ia mengelirukan serta menyimpang daripada akidah Islam sebenar.

Menurut teks khutbah solat Jumaat yang dibaca khatib Mohd Luqman Hakkim Rizuan bertajuk Betulkan Akidah Pengikut GISBH, terdapat empat jenis penyimpangan dikenal pasti berlaku dalam GISBH iaitu mereka percaya kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang telah meninggal dunia.  

Teks terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan antara contoh akidah yang menyimpang adalah seperti percaya As-Suhaimi hanya mati pada zahir sahaja, sebaliknya ghaib dan lahir semula sebagai Imam Mahdi selain ketaksuban serta pemujaan kepada kepimpinan Ashaari Muhammad yang memiliki kuasa kerohanian luar biasa. 

“Ada juga dakwaan bahawa mereka percaya Sheikh Muhammad al-Suhaimi akan kembali sebagai Imam Mahdi,” menurut teks khutbah itu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mendengar khutbah berkenaan dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Menurut teks khutbah itu, wujud unsur khurafat dan syirik daripada ajaran asal Al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan dan mereka mendakwa Allah SWT akan beritahu kepadanya tentang sesuatu penyakit dalam  kalangan pengikutnya serta dipercayai memiliki ramalan tentang masa depan. 

“Walaupun selepas kumpulan Al-Arqam diharamkan pada 1994 dan berubah menjadi GISBH, elemen-elemen itu masih dilihat secara tersirat dalam kepercayaan dan amalan dalam kalangan ahlinya,” menurut khutbah itu.

Bagi penyimpangan keempat, mereka percaya terhadap amalan poligami yang tidak mengikut hukum syarak dan undang-undang berkuat kuasa, dengan mengadakan seminar dan kempen bagi memperluaskan amalan poligami dalam kalangan ahli. 

“Walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, pendekatan kumpulan ini terhadap amalan tersebut sering dikritik kerana ia dilihat sebagai mengabaikan hak dan kesejahteraan wanita,” menurut teks itu.

Susulan itu, umat Islam dinasihatkan supaya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di samping mengenali mereka, agar tidak keliru terhadap golongan yang terpesong dan menyimpang.

“Umat Islam hendaklah lebih berhati-hati dengan bersikap tabayyun dan menyelidik sebelum mengikut membuta tuli di sebalik perkataan agama serta amal atau seumpamanya dengan merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri,” menurut khutbah itu.

Semalam, Sultan Selangor memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.  

Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika dihubungi berkata Sultan Selangor telah disembah maklum mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri semalam dan menjelaskan fatwa berkaitan GISBH perlu melalui proses pewartaan terlebih dahulu sebelum dijadikan hukum serta menjalankan penguatkuasaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan