AM > BERITA

SELBIZ Sasar Jualan RM3 Juta, Tarik Lebih 45,000 Pengunjung

05/10/2024 05:26 PM

SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Setia City di sini menyasarkan nilai transaksi jualan hingga RM3 juta dan lebih 45,000 pengunjung. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sasaran yang melebihi jumlah nilai jualan RM2.2 juta direkodkan pada ekspo sama tahun lepas itu, mampu dicapai mengambil kira situasi ekonomi yang semakin baik.

Beliau berkata SELBIZ yang memasuki tahun ketiga penganjuran juga semakin berkembang dengan pelbagai pengisian menarik melalui penglibatan 230 pempamer yang menawarkan pelbagai produk meliputi pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan.

“Kerajaan amat hargai komitmen proaktif PKNS dalam membantu pembangunan ekonomi negeri dengan pelbagai program keusahawanan termasuk penganjuran kali ketiga SELBIZ tahun ini.

“Tahun ini kita menyasarkan kehadiran lebih 45,000 pengunjung dan nilai transaksi jualan hingga RM3 juta yang saya yakin boleh dicapai berdasarkan keadaan ekonomi semasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SELBIZ 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon.

Amirudin berkata sebahagian pempamer yang terlibat dalam ekspo itu juga merupakan usahawan yang lahir daripada rangkaian program pembangunan keusahawanan PKNS, satu langkah proaktif perbadanan itu dalam membawa usahawan di bawah bimbingan mereka memasarkan produk di pasaran lebih besar. 

Sementara itu, Suhaimi SELBIZ merupakan inisiatif PKNS bertujuan membantu usahawan di Selangor meluaskan jaringan perniagaan, mencari peluang perniagaan baharu, mempromosikan produk keluaran masing-masing dan menambah pengetahuan dalam industri keusahawanan.

Beliau berkata menerusi ekspo itu, PKNS menyediakan platform promosi yang berpusat dan menyeluruh, membolehkan usahawan terlibat memperkenalkan serta memasarkan produk atau perkhidmatan syarikat mereka dengan lebih berkesan.

“Platform ini menawarkan peluang yang komprehensif kepada usahawan, sama ada yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan mahupun yang baru menceburi bidang keusahawanan. 

“Kita juga mahu menggalakkan aktiviti jualan dan promosi produk serta perkhidmatan di samping membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui ekspo yang dianjurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata PKNS memperuntukkan lebih RM7 juta setiap tahun bagi menganjurkan program pembangunan usahawan seperti SELBIZ selain penyertaan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata setakat ini lebih 50,000 usahawan menyertai program bimbingan PKNS selain turut giat melaksanakan inisiatif membantu usahawan yang berpotensi mengembangkan perniagaan ke luar negara seperti penglibatan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Pameran China-ASEAN Expo (CAEXPO) di Nanning, China.

“Selain pameran itu, PKNS juga sedang merancang untung membawa usahawan meneroka pasaran antarabangsa, antaranya menyertai Ekspo MIHAS di Dubai, pada November ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan