AM > BERITA

GISBH: Pandangan Hukum Telah Diputuskan, Tunggu Perkenan Majlis Raja-Raja

05/10/2024 07:15 PM

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah membuat keputusan berkaitan pandangan hukum terhadap doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat pada 23 dan 24 Sept lepas dan pandangan hukum berkenaan akan dibawa ke Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan.

"Kita sudah ada pandangan hukum yang dipersetujui berkaitan dengan GISBH.

"Saya tidak boleh umumkan di sini, nanti kita akan bawa (pandangan hukum) ke Majlis Raja-raja  yang akan bersidang pada 23 dan 24 Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata setelah Majlis Raja-Raja memberikan perkenan kepada pandangan hukum berkenaan, negeri-negeri akan membawa kepada jawatankuasa fatwa negeri yang dipengerusikan oleh mufti masing-masing.

Beliau mengulas mengenai tiga buah negeri iaitu Perlis, Selangor dan Pahang yang mengeluarkan fatwa bahawa fahaman GISBH adalah sesat.

Menurut Mohd Na’im, pandangan hukum  itu dikeluarkan berikutan Jawatankuasa Fatwa MKI tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa dan hanya boleh mengeluarkan pandangan hukum mengenai sesuatu fahaman untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja.

Hari ini, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISBH sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat.

Keputusan berkenaan dibuat selepas jawatankuasa mengadakan mesyuarat khas pada Rabu lepas.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenankan fatwa diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Jawatankuasa Fatwa Perlis sebelum ini turut memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah sekali gus menjadikan ia negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan