AM > BERITA

Individu Berkait GISBH Di Selangor Mungkin Perlu Jalani Proses Pemulihan Akidah

05/10/2024 08:09 PM

SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Sebanyak 108 individu dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang sebelum ini ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mungkin perlu menjalani proses pemulihan akidah sebagai sebahagian daripada hukuman.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata tindakan sedemikian diambil selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang memutuskan GISBH serta rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

“Semua yang ditahan sudah dijamin, jadi ada kemungkinan pemulihan akidah itu adalah sebahagian daripada hukuman selepas fatwa itu diwartakan kelak.

"Sebab kalau kita nak pulihkan akidah ia melibatkan kerelaan individu terbabit tetapi bagi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas, kita kena ada asas untuk berbuat demikian seperti fatwa yang memutuskan mereka perlu dipulihkan, barulah mereka lalui proses tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penutup Festival Al-Barzanji dan Marhaban Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

JAIS sebelum ini dilaporkan telah menahan 108 individu berkaitan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah syariah merangkumi soal akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Selangor Royal Office dalam kenyataan menerusi laman Facebook memaklumkan ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan