AM > BERITA

Naik Taraf Balai Polis, IPD Dan Pos Kawalan Sempadan Keutamaan KDN

22/10/2024 05:26 PM

SEREMBAN, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih perlu memberi keutamaan untuk membaik pulih beberapa balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang uzur di negara ini menerusi peruntukan disediakan dalam Belanjawan 2025. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebahagian daripada 850 balai polis, IPD dibina sekitar 1970-an dan 80-an serta beberapa pos kawalan sempadan perlu dinaik taraf bagi memastikan keselesaan anggota menjalankan tugas.

Saifuddin Nasution berkata pelaburan dalam penggunaan teknologi juga penting bagi memastikan tugas dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam dapat dilaksanakan lebih efisien.

“Kita tidak boleh berakhir dengan menambah tenaga kerja atau perbanyak pusat kawalan, sebaliknya  melihat dalam aspek teknologi dan inovasi, misalnya dron, yang data di sempadan negara dapat dikumpul dengan mudah.

“Namun, keadaan itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kita masih ada kekangan asas iaitu terdapat 850 balai polis yang sebahagiannya masih lagi uzur, IPD dibina pada 70-an dan 80-an tidak berubah dan pos kawalan sempadan yang perlu dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Syarahan Sulung Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Saifuddin Nasution berkata seiring dengan perkembangan teknologi, pelaburan dalam bidang teknologi amat penting bagi mengawal sempadan darat, laut dan udara seperti dilakukan oleh negara luar lain.

“Membangunkan sumber manusia yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang bidang itu, ini ialah trend negara-negara dunia yang memberi keutamaan kepada aplikasi teknologi … bayangkan mengawal sempadan darat dan laut yang hampir 4,000 kilometer.

"Itu belum lagi soal aset yang menjaga laut, darat dan udara, helikopter, kapal dan sebagainya … kerana itu kami terpaksa mengagihkan perbelanjaan diluluskan untuk tujuan menambah baik dan menaik taraf aset-aset ini,” katanya.

Beliau berkata sekiranya perkara asas dapat diselesaikan, sudah tentu pelaburan boleh ditumpukan kepada tuntutan semasa iaitu menguasai bidang pengetahuan baharu yang sangat penting dalam mengawal keamanan dan ketenteraman negara.

Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, sebanyak RM19.5 bilion diperuntukkan kepada KDN dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM15.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Dalam pada itu ketika syarahannya, Saifuddin Nasution berkata mengekalkan keamanan negara ialah cabaran yang perlu diambil oleh semua pihak termasuk kerajaan, badan penguat kuasa dan juga peranan seluruh rakyat di negara ini.

Beliau berkata semua pihak perlu mengelakkan berlakunya permusuhan kaum, agama dan mengadu domba yang merupakan ancaman kepada kestabilan keamanan negara sekarang ini.

"Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia akan mencetuskan kemusnahan sekelip mata," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan