AM > BERITA

KPDN Periksa 942 Premis Perniagaan Di Seluruh Negara Sempena Shmmp Deepavali 2024

30/10/2024 05:05 PM

TEMERLOH, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan 942 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara, melibatkan 11 premis borong dan 931 kedai runcit dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 sejak 28 Okt hingga semalam. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata hasil pemeriksaan itu, sebanyak enam tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga ingkar yang membabitkan sitaan bernilai RM440 dan kompaun RM900.

“Tindakan undang-undang yang dikenakan ialah melibatkan satu kes menjual barang melebihi harga maksimum, dan lima kes gagal meletakkan tanda harga khas merah jambu.

“Oleh itu, kita berharap semua pihak dapat mematuhi harga ditetapkan ini dengan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya, dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi lawatan sempena SHMMP Deepavali 2024 di pasar raya BS Freshmart di Mentakab di sini hari ini.

Fuziah berkata SHMMP Deepavali 2024 yang akan berlangsung sehingga 3 Nov ini diadakan untuk menstabilkan harga barang, kerana permintaan dijangka meningkat pada musim perayaan.  

Sehubungan itu, beliau berkata mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan sepanjang tempoh SHMMP berkenaan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti. 

Lapan barangan disenaraikan di bawah SHMMP Deepavali 2024 ialah bawang merah besar import dan kacang dal Australia, bawang merah kecil (India) termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.

Selain itu, beliau berkata inisiatif “Kíta Gempur” yang baharu seminggu diperkenalkan membabitkan kerjasama pelbagai agensi adalah usaha mengajak orang ramai untuk menjadi mata dan telinga KPDN dalam membanteras kesalahan dilakukan peniaga.

“Kita tidak memiliki ramai anggota dan pegawai KPDN di seluruh negara untuk memantau semua aktiviti perniagaan yang dijalankan.

“Dengan adanya bantuan orang ramai, mereka boleh melaporkan jika ada maklumat mengenai kes sorok barang, pencatutan, ketirisan atau barang kawalan kita dijual di luar negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan