AM > BERITA

KPDN Kedah Terima 105 Aduan Berkaitan Minyak Masak Peket

30/10/2024 09:18 PM

SUNGAI PETANI, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 105 aduan berkaitan minyak masak peket membabitkan pelbagai kesalahan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah sejak Jan hingga Okt tahun ini.

Pengarah berkenaan Muhammad Nizam Jamaludin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Antara kesalahan berkaitan dengan Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuklah enggan menjual barang kawalan dan berurusan secara borong atau runcit atau mengilang apa-apa barang berjadual tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sebuah pasar raya dekat sini hari ini.

Lapan jenis barangan kawalan disenaraikan sempena SHMMP Deepavali 2024 termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India atau ros, bawang merah besar import dan kacang dal.

Muhammad Nizam berkata secara keseluruhannya KPDN Kedah menerima 1,443 aduan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini.

Tambah beliau, selain aduan mengenai minyak masak, antara aduan tertinggi yang diterima adalah berkenaan transaksi dalam talian sebanyak 398 kes, harga (397 kes), barang kawalan (183 kes), perkhidmatan mengelirukan (158 kes) dan bengkel kenderaan bermotor (82 kes).

"KPDN Kedah turut menerima 25 aduan membabitkan kenaikan harga dengan empat kes telah dihasilkan bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Beliau seterusnya menyatakan sebanyak 1,996 pemeriksaan telah dijalankan menerusi Op Tiris 3.0 sejak Jan lepas dan 158 kes telah diambil tindakan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.5 juta.

"Selain itu, bermula 1 Oktober lepas, KPDN Kedah turut giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan harga barangan melibatkan lima kategori barangan dan perkhidmatan iaitu makanan dan minuman, keperluan isi rumah, makanan dan minuman sedia masak, perkhidmatan gunting rambut dan perkhidmatan dobi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan