AM > BERITA

Syor Singkir Israel Daripada PBB Langkah Bermoral, Beretika - Bekas Menteri Luar

05/11/2024 08:24 PM

BANGI, 5 Nov (Bernama) -- Syor Malaysia agar Israel disingkirkan sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika melanggar undang-undang dalam isu membabitkan Palestin merupakan langkah bermoral dan beretika, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Beliau berkata hal ini kerana Israel tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan sebarang peraturan dalam konvensyen antarabangsa seperti mana yang dituruti oleh negara anggota.

“ … saya tidak pasti jika ia boleh (disingkirkan), tetapi ia keputusan yang tepat kerana Israel menentang PBB dan tidak patut menjadi ahli PBB. 

“Israel tidak menghormati undang-undang piagam PBB, langgar undang-undang antarabangsa, langgar Konvensyen Geneva … kenapa hingga kini tiada tindakan ke atas Israel?” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Canselor Tuanku Muhriz ke-6 di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam berkata Malaysia telah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.

Anwar berkata draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka dibentangkan pada Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.

Israel diberi keahlian penuh dalam PBB pada 11 Mei 1949. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan