AM > BERITA

MINDEF Sentiasa Usaha Tingkat Kesejahteraan Warga, Anak-Anak ATM

05/11/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa berusaha meningkatkan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja meliputi soal keselesaan tempat tinggal dan keharmonian hidup, tetapi juga aspek kecemerlangan pendidikan anak-anak mereka.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata untuk tujuan itu, kementerian telah dan akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan program tuisyen dalam talian secara percuma kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak-anak warga ATM, dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya sedang mengusahakan agar semua calon SPM dalam kalangan anak-anak ATM dibekalkan dengan sebuah Chromebook secara percuma. Kita sudah bekalkan kepada sebahagian calon SPM bagi sesi ini dan bakinya akan diberikan kemudian.

“Bagi memastikan program tuisyen percuma dan pembelajaran dalam talian menggunakan Chromebook ini berjalan lancar, Kementerian Pertahanan juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi.

“Kita mahu menyediakan perkhidmatan Internet yang menyeluruh di kem-kem tentera,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) ATM di sini hari ini.

Beliau berkata MINDEF juga sedang mengusahakan pakej Perajurit Broadband untuk semua pengguna dalam kalangan anggota ATM dengan mereka hanya perlu membayar RM49 sebulan.

Mohamed Khaled turut mengingatkan anak-anak warga ATM supaya sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan seluruh warga kementerian itu selain menasihati mereka supaya menjadikan alam pendidikan tinggi sebagai tempoh untuk membina potensi diri, kedewasaan dan kematangan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada 113 pelajar dari Zon Tengah atas pencapaian cemerlang dalam SPM 2023. 

 Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima ATM Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Secara keseluruhan sebanyak 295 pelajar menerima hadiah kecemerlangan berkenaan di seluruh negara melibat Zon Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak yang akan diraikan dalam majlis berasingan kelak.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Mohamad Nizar Sudin berkata daripada 295 penerima, tiga pelajar menerima 11A, 13 pelajar (10A), 37 pelajar (9A), 50 pelajar (8A), 49 pelajar (7A), 60 pelajar (6A) dan 83 pelajar menerima 5A bagi keputusan SPM 2023. 

MINDEF dalam kenyataan memaklumkan majlis AKP ATM yang diadakan setiap tahun bermula 1991 merupakan program inisiatif kelolaan MINDEF, Jabatan Arah Pendidikan (JAP) ATM dan Yayasan LTAT.

“Sejak 1991, Yayasan LTAT atau sebelum ini dikenali Yayasan Warisan Perajurit telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 anak-anak warga ATM dengan peruntukan RM12 juta,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan