KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain menyempurnakan upacara steel cutting bagi pembinaan projek Kapal Misi Pesisir Batch Kedua (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul Shipyard, Turkiye, semalam.
TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan upacara yang merujuk tradisi pemotongan plat besi kapal sebagai simbolik bermulanya fasa pembinaan itu, turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Dr Mohd Bakhari Ismail bersama Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.
“Reka bentuk LMSB2 berasaskan korvet kelas-ADA yang telah dipilih TLDM melalui memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) yang dilantik sebagai kontraktor utama.
“Kapal kelas ini juga dioperasikan Angkatan Laut Turkiye dan Tentera Laut Pakistan,” menurut kenyataan itu yang memaklumkan upacara berkenaan turut dihadiri pasukan projek LMSB2 dan Pengurus Besar STM Özgür Güleryüz.
TLDM memaklumkan LMSB2 ini mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi, termasuk peperangan antipermukaan, antiudara dan peperangan elektronik yang bakal meningkatkan keupayaan tempur serta operasi pasukan TLDM dengan kapal kelas sama kini, dalam fasa ujian untuk perolehan Tentera Laut Pakistan dan Tentera Laut Ukraine.
“Kapal ini juga dilengkapi sistem persenjataan dan penderia berteknologi tinggi bagi melaksanakan misi dalam domain maritim negara, dengan pembinaan kapal itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2027 sebelum diserahkan kepada TLDM,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jun, menyaksikan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga LMSB2 kepada STM di Ankara, ibu negara Turkiye dengan projek itu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun setengah untuk disiapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial