KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di tujuh negeri yang terjejas akibat bencana itu semakin pulih petang ini.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di dua jajahan terus mencatat penurunan setakat 4 petang ini kepada 28,038 orang yang ditempatkan di 72 pusat pemindahan sementara (PPS), membabitkan 9,018 keluarga berbanding 34,672 orang pagi tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 16,096 orang di 38 PPS diikuti Pasir Mas seramai 11,942 orang yang ditempatkan di 34 PPS.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 9.16 meter (m) dan Sungai Golok di Tumpat (3.43m).
Selain itu, di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 4,419 orang daripada 1,315 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 5,067 orang daripada 1,531 keluarga, pagi tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa daripada tiga daerah itu, masih ditempatkan 23 PPS.
“Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi seramai 3,390 orang daripada 1,016 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS, diikuti Kubang Pasu seramai 857 orang daripada 250 keluarga di empat PPS dan Pokok Sena seramai 172 orang daripada 49 keluarga di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumlah mangsa banjir di TERENGGANU terus menurun kepada 4,025 orang di 21 PPS di empat daerah terjejas setakat 4 petang ini, berbanding 7,423 orang pagi tadi.
Daerah yang paling terjejas iaitu Kuala Nerus merekodkan mangsa seramai 2,130 orang daripada 562 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS, manakala di Dungun seramai 1,249 mangsa (285 keluarga) di lima PPS serta di Kuala Terengganu mencatatkan seramai 552 orang mangsa (125 keluarga) di tiga PPS dan di Setiu hanya 94 mangsa (17 keluarga) masih berada di dua PPS.
Cuaca cerah sepanjang hari ini membolehkan semua mangsa banjir di Hulu Terengganu dan Marang pulang ke rumah masing-masing, selepas semua PPS di kedua-dua daerah itu ditutup tengah hari tadi.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir turut menurun kepada 993 orang daripada 276 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 1,009 orang pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan sebanyak 17 PPS masih aktif dengan melibatkan seramai 817 mangsa daripada 228 keluarga ditempatkan di 15 PPS di Segamat, manakala 176 orang daripada 48 keluarga berlindung di dua PPS di Tangkak.
Beliau berkata sebuah PPS iaitu Surau Al-Muhtadeen Kampung Kenangan, Segamat telah ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata dua kawasan jalan di Segamat masih ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat banjir iaitu Jalan Kuala Paya-Balai Badang dan Jalan Tumang, manakala Jalan Serakek di daerah sama hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini menunjukkan penurunan kepada 158 mangsa daripada 54 keluarga, yang berlindung di lima PPS berbanding 167 mangsa pagi tadi.
Menurut sekretariat itu, seramai 95 mangsa daripada 33 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta dan seramai 63 mangsa daripada 21 keluarga juga turut berlindung di dua PPS di daerah Perak Tengah.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan paras air Sungai Perak di daerah Hulu Perak berada pada paras bahaya setinggi 166.41m berbanding paras normal 165.10m.
Di PAHANG, berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa banjir di Maran semakin berkurangan dengan 15 orang setakat 4 petang ini berbanding 51 orang pagi tadi, selain Temerloh dan Bera pulih sepenuhnya, apabila PPS di daerah itu telah ditutup tengah hari tadi.
Semakan di infobanjir.water.gov.my, JPS pula, hanya satu sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (27.2 m) tetapi menunjukkan trend menurun, manakala dua sungai di Pekan, Bera (1) dan Maran (1) melebihi tahap amaran.
Sementara itu, mangsa banjir di MELAKA kekal 160 orang daripada 41 keluarga pada 4 petang ini, menurut Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan.
Seramai 109 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu manakala 51 mangsa daripada 14 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat, masing-masing membabitkan daerah Jasin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial