KUANTAN, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pahang sedang mempertimbangkan pemasangan panel solar bagi projek perumahan PR1MA, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beliau berkata pihaknya sedang memperhalusi inisiatif itu bersama Tenaga Nasional Berhad dan sekiranya bersesuaian perkara itu akan dibawa kepada Lembaga Hartanah dan Perumahan untuk mendapatkan kelulusan.
"Jika dibenarkan kita akan laksanakan solar atas bumbung rumah PR1MA bagi kurangkan kos bayaran bulanan elektrik penghuni rumah berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri bercadang untuk membina rumah PR1MA di Pulau Tioman, Rompin dan memasang panel solar bagi projek perumahan itu.
Mohammad Fakhruddin berkata kerajaan negeri juga bercadang membangunkan rumah PR1MA di Kampung Tekek, Pulau Tioman di tanah berkeluasan 120 ekar yang kini dalam proses mendapatkan kebenaran merancang.
Berkaitan isu alam sekitar, beliau memaklumkan sehingga kini Jabatan Alam Sekitar telah mengambil 14 tindakan kompaun dan satu tindakan mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial