AM > BERITA

HAWANA: SUMBANGAN SET KOMPUTER BERTEKNOLOGI TINGGI, TELEVISYEN BANTU PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN UNIVERSITI

12/12/2024 09:01 PM

KUALA NERUS, 12 Dis (Bernama) -- Tiga universiti awam di Pantai Timur hari ini masing-masing menerima satu set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen bersaiz 65 inci sumbangan Kementerian Komunikasi, menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku urusetia Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Sumbangan bernilai itu RM20,000 itu bersempena program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Zon Timur yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Universiti yang menerima sumbangan berkenaan adalah UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar dan pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Beliau berkata dengan sumbangan peralatan berteknologi tinggi itu, proses pengajaran dan pembelajaran pastinya lebih mudah, interaktif dan efektif.
    "UniSZA ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan HAWANA atas sumbangan yang sangat bermanfaat.

"Pada zaman serba berteknologi ini, keperluan terhadap peralatan yang sesuai amat diperlukan untuk meningkatkan mutu pelajaran dan pengajaran warga UniSZA," katanya ketika ditemui pada program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di UniSZA, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kepada Fadzli yang mewakili UniSZA.

UMT pula diwakili Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Prof Dr Asyraf Abdul Rahman manakala UMK oleh Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Prof Madya Dr Kamarulzaman Abd Ghani.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024, Arul Rajoo Durar Raj.

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa Zon Timur yang melibatkan lebih 250 pelajar termasuk pensyarah dari UniSZA, UMT dan UMK itu merupakan siri jelajah yang terakhir untuk tahun ini.

Terengganu merupakan lokasi terakhir jelajah selepas Sarawak, Sabah, Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Selatan dengan penglibatan 16 universiti awam dan 2,000 pelajar serta pensyarah.
     -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan