AM > BERITA

Menteri Kabinet Ucap Selamat Menyambut Pesta Ponggal

13/01/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Anggota Kabinet melalui hantaran media sosial masing-masing, mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada semua penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Facebook berharap sambutan Pesta Ponggal ini menjadi suntikan semangat untuk mengorak langkah lebih jauh ke arah kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata dalam kepelbagaian budaya dan tradisi di Malaysia, perayaan seperti Pesta Ponggal merupakan satu daripada lambang perpaduan yang erat antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Semangat hormat-menghormati dan memahami budaya antara satu sama lain adalah asas kekuatan dan keharmonian di negara kita," katanya.

Ponggal adalah perayaan menuai yang disambut oleh komuniti India di serata dunia, termasuk Malaysia. Perayaan ini menandakan penghargaan kepada dewa matahari (Surya) serta bumi (Bhoomi) atas hasil tuaian yang melimpah dan kemakmuran.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di platform X pula berharap keunikan perayaan Ponggal di negara ini yang sememangnya kaya dengan pelbagai budaya, agama, dan adat resam, dapat dihargai serta dipelihara. 

"Ponggal bukan sahaja meraikan hasil bumi tetapi juga menggambarkan semangat kesyukuran, persaudaraan, dan perpaduan.

"Marilah kita terus menyuburkan nilai-nilai murni perpaduan, saling menghormati dan memahami agar Malaysia terus teguh sebagai sebuah negara yang aman, makmur, dan harmoni," katanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pula berharap rakyat di negara ini menghayati semangat perpaduan serta pengajaran daripada sambutan Ponggal terutama tentang hubungan erat antara manusia dan alam sekitar.

"Hari Ponggal adalah simbol penghormatan kepada usaha gigih petani serta nikmat hasil tuaian yang melimpah-ruah. 

"Tradisi ini menjadi inspirasi untuk kita terus menjaga dan memelihara alam sebagai sebahagian daripada warisan bersama yang tidak ternilai. Semangat perayaan seperti ini mencerminkan keindahan budaya Malaysia yang pelbagai dan kekuatan perpaduan rakyatnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan