AM > BERITA

Terminal Feri Labuan Ditambahbaik Tingkat Pengalaman Perjalanan Penumpang - Dr Zaliha

13/01/2025 09:07 PM

LABUAN, 13 Jan (Bernama) -- Terminal Feri Antarabangsa Labuan akan mengalami penambahbaikan sebagai usaha mempertingkat pengalaman perjalanan lebih baik dalam kalangan pengembara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

“Penambahbaikan kemudahan ini akan memastikan keselesaan pengembara menggunakan perkhidmatan feri,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke terminal berkenaan di sini hari ini.

Pada lawatan itu Dr Zaliha turut diberikan taklimat berkaitan penambahbaikan yang telah dilakukan termasuk peluasan kawasan menunggu dan pemasangan penyaman udara.

Beliau berkata usaha akan dilakukan untuk meluaskan lagi kawasan menunggu bagi menampung bilangan pengembara yang semakin meningkat dan rancangan untuk menaik taraf terminal feri lama untuk operator bot ekspres penumpang bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengembara.

“Kita perlu menangani perkara ini secara serius, melibatkan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Kita memerlukan data berkaitan kapasiti terminal dan trip semasa untuk membuat penambahbaikan ,” katanya.

Dr Zaliha turut memaklumkan penambahbaikan melibatkan kos RM22 juta terhadap Terminal Feri Ro-Ro Labuan, dijadualkan bermula tahun ini.

“Kita telah menerima taklimat daripada Jabatan Laut Labuan dan Jabatan Kerja Raya berkaitan penambahbaikan ini,” katanya sambil menambah usaha akan ditumpukan untuk mengurangkan masa menunggu, membina tanjakan untuk keluar masuk feri serta lorong khusus untuk pelbagai jenis kenderaan dan motosikal.

Beliau turut menyentuh mengenai kelewatan perkhidmatan feri Labuan-Kota Kinabalu-Labuan, sambil melahirkan keyakinan masalah terbabit lambat-laun akan diselesaikan.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Labuan, tetapi juga Sabah. Saya merancang untuk membincangkan perkara ini dengan Ketua Menteri Sabah, dan berharap dapat mencari penyelesaian sebelum penghujung tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan