AM > BERITA

Pengalihan Kubur Di Selat Klang, ECRL Setuju Taja Set Kepuk - Exco

16/01/2025 11:29 PM

KLANG, 16 Jan (Bernama) -- Pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersetuju menaja set kepuk dan batu nisan membabitkan 90 plot kubur yang terlibat dalam pengalihan ke kubur baharu di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pembinaan kesemua kepuk dan batu nisan itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, pihak ECRL sendiri bersetuju membekalkan binaan kepuk untuk kubur baharu beserta sepasang batu nisan bagi 90 plot kubur yang dijangka siap pada Ramadan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa untuk jenazah yang terlibat dengan pengalihan kubur terbabit bagi memberi laluan kepada projek jajaran ECRL, di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohammad Fahmi dilaporkan berkata kerajaan negeri sedang dalam proses rundingan dengan pihak ECRL bagi tujuan penajaan pembinaan kepuk dan batu nisan baharu susulan berakhirnya proses pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada 9 Jan lepas. 

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata keputusan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan waris melihat proses pengalihan jenazah adalah demi keselamatan dan kesihatan.

Beliau berkata ia berikutan proses pengalihan itu turut melibatkan jenazah COVID-19 di samping keadaan tanah lembut di kawasan berkenaan. 

“Proses penggalian dan pengalihan berjalan lancar serta dilakukan mengikut prosedur operasi standard yang sewajarnya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan