AM > BERITA

Inisiatif MISI Perkasa Pemandu Lori India Malaysia Untuk Tingkatkan Peluang Kerjaya

09/02/2025 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Malaysian Indian Skills Initiative (MISI) terus memperkasa tenaga kerja negara dengan melatih pemandu trak Malaysia kaum India melalui program Certificate of Professional Competence (CPC) – Dangerous Goods (DG) Integrated Truck Driver Training di Klang, Selangor.

Program latihan selama tiga hari sejak semalam anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) itu mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap latihan khusus dalam bidang logistik.

HRD Corp dalam kenyataan memaklumkan program latihan yang dirasmikan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran, secara langsung turut membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemahiran dan memperkasa bakat komuniti India di Malaysia.

“Menerusi pentauliahan DG ini, pemandu trak untuk kategori ini akan mendapat gaji lebih tinggi serta jaminan pekerjaan yang lebih baik. Latihan intensif yang dijalankan selama tiga hari ini juga memberi kelebihan daya saing kepada peserta.

“Selain itu, graduan program latihan ini bukan sahaja berpeluang menceburi bidang keusahawanan, malah mereka turut layak untuk jawatan pengurusan. Program ini juga menyokong pematuhan ESG (alam sekitar sosial dan urus tadbir) dan piawaian keselamatan antarabangsa, memastikan ia kekal relevan dengan keperluan industri,” menurut kenyataan itu.

Prabakaran dalam kenyataan sama berkata latihan bersepadu DG itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha melengkapkan pemandu lori dengan pensijilan dan kepakaran yang diperlukan bagi memajukan kerjaya mereka yang terlibat. 

Sementara itu seorang daripada peserta V. Kalaiselvan, 29, yang telah mencari pekerjaan selama lebih enam bulan berkata bahawa program MISI memberinya harapan baharu.

“Saya amat bersyukur diberikan peluang untuk mendapatkan Sijil Latihan Bersepadu DG ini. Terima kasih Kerajaan MADANI,” katanya.

D Devandran, 38, dari Ipoh, Perak pula berkata hasil latihan itu, beliau kini berpeluang meningkatkan pendapatannya selepas tiga tahun bekerja dalam ekonomi gig yang disifatkan tidak menjamin peluang peningkatan kerjaya.

“Menerusi latihan ini saya bukan sahaja akan menerima sijil sebagai pemandu trak, malah saya turut berpeluang membangunkan kerjaya sehingga ke jawatan pengurusan,” katanya .

MISI yang diterajui oleh KESUMA melalui HRD Corp telah menerima lebih 3,000 penyertaan dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi, antaranya Kecerdasan Buatan dan pertanian pintar, selaras dengan keperluan industri untuk kemahiran masa hadapan.

Program itu bukan sekadar mencipta peluang pekerjaan, tetapi juga memperkasa keusahawanan, menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat dan membuka ruang untuk kemajuan kerjaya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan