BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM > BERITA

Jentera Kerajaan Hendaklah Laksana Aktiviti Ke Arah Pembudayaan Al-Quran - Raja Perlis

26/02/2025 10:01 AM

KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Semua pihak terutama jentera kerajaan sama ada pentadbiran atau pendidikan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti ke arah pembudayaan dan penghayatan  isi kandungan al-Quran supaya ia meresap di setiap peringkat lapisan masyarakat tanpa terkecuali.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah baginda meyakini dengan memberikan perhatian dan penekanan sepenuhnya kepada al-Quran ia dapat menjadikan rakyat di Perlis mencapai tamadun di bawah keredaan kerana ilmu al-Quran itu sifatnya sentiasa maju dan berkembang selari dengan peredaran semasa.

"Agensi-agensi agama, masjid-masjid, sekolah-sekolah hendaklah memainkan peranan aktif dalam mempromosikan pembelajaran dan penghayatan al-Quran. Dengan kerjasama ini, kita dapat memastikan pendidikan al-Quran disediakan dengan sistematik dan menyeluruh, merangkumi semua lapisan masyarakat.

"Program-program komuniti yang melibatkan pembelajaran dan penghayatan al-Quran hendaklah diperkukuh. Aktiviti seperti tadarus, kelas tafsir dan ceramah agama harus dipergiat dan diperluas. 

"Dengan cara ini, kita dapat memperkukuh keimanan dan ketaqwaan masyarakat serta mengukuhkan perpaduan ummah," titah baginda ketika berkenan merasmikan majlis penutup dan pengurniaan hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Perlis 2025 di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah semua yang dinyatakan baginda itu tidak akan dapat direalisasikan tanpa sebarang sokongan dan dokongan kewangan maka pihak berwajib perlu mengambil berat akan perkara itu dengan memperuntukkan sejumlah peruntukan munasabah bagi menjayakan agenda berkenaan.

"Harapan saya adalah agar semua pihak cakna tentang perkara ini demi memastikan lahirnya generasi umat Islam yang unggul di negeri Perlis dan tanah air pada masa akan datang dengan berlandaskan al-Quran dan al-Sunah," titah baginda.

Baginda bertitah seluruh umat Islam di negeri itu hendaklah berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunah Nabi Muhammad SAW iaitu lazimi membaca al-Quran, menghafaz, mempelajari, mendalami dan menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian agar ia menjadi suatu budaya dalam masyarakat di Perlis.

Sementara itu, Muhammad Anas Abdul Hadi dinobatkan sebagai johan qari manakala johan qariah menjadi milik Siti Aishah Md Arif pada majlis tilawah al-Quran peringkat negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan