AM > BERITA

63 Vesel Asing Disenarai Dalam IUU Hingga November 2024 - DOF

14/03/2025 03:24 PM

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Sebanyak 63 vesel asing yang disyaki berasal dari Indonesia, Thailand dan Vietnam telah disenaraikan dalam Senarai Aktiviti PerikananTidak Sah, Tidak Dilaporkan dan Tidak Dikawal (IUU-Malaysia) hingga November 2024.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata walaupun jumlah tangkapan vesel asing menunjukkan penurunan daripada 121 kes pada 2020 kepada 82 kes pada 2024, ancaman terhadap sumber perikanan negara masih berterusan dan perlu ditangani segera.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan meningkatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan oleh vesel asing dapat ditangani secara tegas dan menyeluruh.

"Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perikanan haram yang menjejaskan kemandirian sumber perikanan negara dan merugikan nelayan tempatan," katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak yang melanggar Akta Perikanan 1985 akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan vesel dan denda maksimum.

Adnan berkata DOF turut mengukuhkan sistem pemantauan vesel (VMS) bagi mengawasi pergerakan vesel penangkapan ikan tempatan (VNT), khususnya di Zon B, C dan C2, serta memantau aktiviti pencerobohan di kawasan perairan yang dikhaskan untuk nelayan tempatan.

Beliau berkata usaha menangani aktiviti IUU terus diperkasakan melalui Jawatankuasa Induk IUU Fishing dan Jawatankuasa Kerja IUU Fishing yang diketuai DOF dengan sokongan pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan.

Selain itu, Malaysia juga akan terus memainkan peranan utama dalam ASEAN Network for Combating IUU Fishing (AN-IUU) bersama negara serantau bagi menangani ancaman IUU di perairan rantau ini.

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan