AM > BERITA

LPJ Perkasa Komuniti Kampung Kong Kong Laut Menerusi Santuni MADANI

15/03/2025 12:20 PM

JOHOR BAHRU, 15 Mac (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) menyumbang sebuah bot kepada penduduk Kampung Kong Kong Laut, Masai, di sini, bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.

Pengurus Besar LPJ Datuk Monaliza Suhaimi berkata selain itu, pihaknya memberi sumbangan membaiki bumbung Sekolah Kebangsaan Kongkong Laut dan memberi sokongan pendidikan serta pembangunan modal insan dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti.

"LPJ sememangnya fokus kepada usaha meningkatkan prestasi dan kecekapan pelabuhan, namun pada masa sama kita juga perlu berkongsi limpahan manfaat dengan masyarakat sekitar.

"Jadi itu antara objektif kita menerusi Santuni MADANI iaitu bukan sahaja memajukan pelabuhan, tetapi juga memperkasakan masyarakat," katanya kepada Bernama pada Program Serahan Bakul MADANI Ramadan dan Pemberian Duit Raya di kampung itu di sini semalam.

Beliau berkata inisiatif dilakukan merupakan antara hasil libat urus yang diadakan dengan penduduk kampung bagi mengenal pasti masalah atau cabaran dihadapi mereka.

"Inisiatif utama yang dilaksanakan merangkumi pemberian bantuan berterusan kepada golongan yang memerlukan melalui pelbagai bentuk sumbangan dan program sokongan selain penganjuran aktiviti komuniti yang bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan serta meningkatkan daya tahan masyarakat," katanya.

Terdahulu, pada program berkenaan LPJ menyampaikan Bakul MADANI Ramadan mengandungi keperluan asas kepada 100  asnaf serta pemberian duit raya kepada anak-anak kampung itu.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Tiram Azizul Bachok dan Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang Malik Mahmod.

Program Santuni MADANI diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat.

Ia termasuk mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk menerusi pemantauan secara langsung serta libat urus membabitkan Ahli Jemaah Menteri, pimpinan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan