KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan lawatan kerja ke tapak-tapak flat usang yang amat memerlukan pembaharuan pada 29 April ini.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pihaknya akan menjemput Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat khususnya pembangkang untuk bersama-sama melihat sendiri situasi di lapangan sekali gus memahami kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Kita akan jemput semua yang berminat dan kita akan naik bas dari Parlimen pergi melawat empat tempat, dua tempat yang sangat teruk dan dua tempat yang sudah berjaya.
"Jadi, anda akan lihat sendiri sebelum dan selepas, kemudian anda boleh buat penilaian sendiri, mengapa akta ini sangat penting," katanya kepada pemberita selepas majlis Sembang Kopi Bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zamri Rambli dan Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM Md Shahri Saripan.
Beliau berkata pembangunan semula akan membantu pemilik mendapat kediaman lebih baik dengan nilai hartanah yang meningkat.
Sebagai contoh katanya, unit di Razak Mansion yang berkeluasan 421 kaki persegi bernilai RM70,000 meningkat lima kali ganda kepada RM418,000 selepas pembaharuan semula dengan saiz rumah 820 kaki persegi.
Dalam pada itu, Nga berkata pihaknya mengenal pasti 534 kawasan yang sesuai untuk dibangunkan semula di seluruh negara termasuk di lokasi ikonik negara seperti Bangunan Sultan Abdul Samad.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan RUU PSB tidak akan mengubah status tanah yang terlibat dan dakwaan pihak tertentu mengatakan bahawa RUU itu bakal menyebabkan hak serta tanah rizab Melayu dirampas adalah satu penipuan semata-mata.
Sementara itu, Nga mengingatkan perantau yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya tidak membuang sampah dari dalam kereta bagi menjaga kebersihan.
Beliau berkata KPKT telah membentangkan RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 dan RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, antaranya untuk membolehkan mahkamah mengenakan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil.
“Saya harap akta ini dapat dikuatkuasakan tahun ini kerana tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia. Tak boleh tunggu lagi, saya tak nak pelancong asing masuk ke Malaysia dan nampak negara kita kotor...itu memang malu. Kita kena pastikan imej negara terjaga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial