KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) akan dijadikan acara tahunan kebangsaan bagi menggalakkan kesedaran sivik dalam penjagaan kebersihan tandas awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu telah dipersetujui Jemaah Menteri.
Beliau berkata pertandingan yang memasuki tahun ketiga penganjuran bakal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM160,000 dengan pemenang utama setiap kategori menerima RM20,000.
"Tahun ini, TOTYA akan mempertandingkan lapan kategori iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hotel, restoran, pusat beli-belah, sekolah, medan selera serta rumah ibadat," katanya kepada pemberita selepas program Sentuhan Kasih Ramadan bersama media di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zamri Rambli dan Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM Md Shahri Saripan.
Tarikh tutup penyertaan TOTYA adalah pada 30 April ini.
Nga memaklumkan setakat ini hasil kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Kementerian Pendidikan, kira-kira 12,000 tandas awam termasuk lebih 8,000 tandas sekolah telah dinaik taraf dengan peruntukan hampir RM900 juta.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan amalan kebersihan diterapkan sejak di bangku sekolah.
Dalam pada itu, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, KPKT memperuntukkan RM4 juta untuk membina empat tandas pintar enam bintang di destinasi pelancongan terpilih.
Ia melibatkan Dataran Masjid Putrajaya dan Dataran Flora di Putrajaya selain Jalan Alor dan Jalan Petaling di ibu negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial