AM > BERITA

INSKEN Sasar Latih 17,552 Usahawan Melalui 13 Program Tahun Ini - Ramanan

20/03/2025 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Institut Keusahawanan Berhad (INSKEN) menyasarkan untuk melatih dan membimbing 17,552 usahawan melalui 13 program sepanjang tahun ini bagi memperkukuh daya saing mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan berkata inisiatif itu selaras dengan perancangan strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Bagi tujuan ini INSKEN telah mengambil pendekatan dengan memperkukuhkan kerjasama rentas kementerian, agensi, dan industri dalam melaksanakan program latihan, bimbingan serta konsultasi bagi memperkasa usahawan informal dan micro. 

“Selain itu mengadakan kerjasama dengan Protege melalui program Jom Jumpa Protege melibatkan 3,482 peserta yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengenai keusahawanan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan yang ingin tahu pelan terancang INSKEN untuk melaksanakan program bimbingan keusahawanan kepada pelbagai sektor masyarakat di negara ini. 

Ramanan berkata INSKEN juga melaksanakan program rentas agensi bersasar seperti Malaysian Indian Community Entrepreneurship Program yang merupakan kolaborasi antara INSKEN dan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

Menjawab soalan tambahan Awang yang ingin tahu jumlah usahawan yang berjaya dibentuk, Ramanan berkata 60 peserta berjaya meningkatkan status mereka daripada mikro kepada kecil.

“Bagi program-program bimbingan ini, peningkatan jualan keseluruhan dicatatkan sebanyak RM23 juta, dengan 63 peratus daripada 815 peserta tersebut merekodkan peningkatan penjualan minimum 25 peratus.

“Lanjutan itu 60 peserta telah meningkatkan status mereka daripada mikro kepada kecil. Jadi ini antara angka-angka yang saya ada,” katanya. 

Beliau berkata apabila INSKEN mengeluarkan dana untuk mana-mana program, ia bukan sekadar memberikan dana, tetapi program tersebut melibatkan satu proses yang menyaksikan perkembangan usahawan dari awal hingga akhir dipantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan