EKONOMI > BERITA

QUBE UMUM PERSIDANGAN FARMASEUTIKAL DAN PENJAGAAN KESIHATAN ASIA TENGGARA 2025 PADA APRIL

21/03/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, penganjur SEACare 2025 mengumumkan penganjuran Persidangan Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara 2025 yang julung kali diadakan dari 23 hingga 25 April ini.

Program tersebut akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Dianjurkan bersama oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Five Pillar Venture Capital Sdn. Bhd, persidangan berkenaan akan berlangsung serentak dengan pameran SEACare 2025.

"Ini akan menandakan satu lagi pencapaian penting bagi SEACare yang diperoleh Qube pada 2024," kata Qube dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, delegasi yang hadir bagi ketiga-tiga hari persidangan layak mendapatkan 20 mata Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) masing-masing dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

"Seiring Malaysia memajukan agenda kesihatannya dengan memberi tumpuan kepada integrasi digital, pembiayaan mampan dan pembaharuan dasar, persidangan ini disasarkan untuk memacu perbincangan yang berkesan selain menjalin kerjasama strategik.

"Dengan Pejabat Transformasi Kesihatan (HTO) melaksanakan inisiatif utama dalam Kertas Putih Kesihatan dan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah cara penjagaan pesakit, persidangan berkenaan turut menumpukan perhatian kepada persimpangan antara teknologi, dasar dan pelaburan dalam membina sistem kesihatan yang siap sedia untuk masa depan," katanya.

Kenyataan itu juga berkata persidangan tersebut dibimbing oleh sebuah jawatan kuasa pengarah yang dihormati dan terdiri daripada tokoh-tokoh penting dalam sektor kesihatan termasuk Presiden NCSM dan Pengerusi Bersama Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Datuk Dr Saunthari Somasundaram serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (MOH) Dr Muralitharan Paramasua.

Turut serta dalam jawatan kuasa ini merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit NCD MOH Dr Noraryana Hassan, Profesor Kesihatan Awam dan Dasar dari Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Universiti Monash Malaysia Prof Eli Renganathan dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Frost & Sullivan Malaysia, Zainul Alam Abdul Kadir.

Sementara itu, Noraryana berkata persidangan berkenaan menyediakan pendekatan komprehensif terhadap kesihatan merangkumi keseluruhan kontinum penyakit dengan kajian kes dalam bidang seperti diabetes dan kanser selain memberi tumpuan kepada teras-teras sistem kesihatan seperti pembiayaan serta pengukuhan sistem.

"Dengan menghubungkan amalan klinikal dengan perbincangan dasar, ia menawarkan pandangan berharga untuk pelbagai pihak berkepentingan daripada penyedia penjagaan kesihatan sehingga kepada pembuat dasar yang boleh mengaplikasikan pembelajaran berkenaan dalam konteks mereka sendiri di seluruh rantau ini," katanya.

Pengerusi Penganjur Persidangan dan Pengarah Urusan NCSM, Profesor Madya Dr Murallitharan M berkata persidangan ini direka bagi menangani perkembangan yang paling mendesak dalam bidang kesihatan dengan meneroka kemajuan dalam kesihatan digital, inovasi berasaskan AI dan strategi pembiayaan mampan yang berfungsi sebagai pemangkin untuk perubahan dalam landskap penjagaan kesihatan serantau.

"Perbincangan tersebut juga menyasarkan untuk membekalkan pihak berkepentingan dengan pandangan berharga selain penyelesaian praktikal bagi mengharungi cabaran yang semakin berkembang dalam industri pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Pengerusi Eksekutif Qube, Richard Teo pula berkata persidangan tersebut menandakan satu pencapaian penting sebagai persidangan pertama SEACare yang direka untuk melangkaui acara perdagangan tradisional dengan memupuk perbincangan kritikal, kerjasama dan inovasi.

"Persidangan ini mencerminkan evolusi SEACare bukan sahaja sebagai platform untuk peluang perniagaan tetapi juga sebagai pemacu idea perubahan yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan di rantau ini," katanya.

Persidangan berkenaan akan menampilkan program yang komprehensif merangkumi Transformasi Kesihatan dengan tumpuan kepada model penyampaian kesihatan inovatif, perubahan dasar dan strategi untuk mengukuhkan sistem kesihatan.

Selain itu turut ditampilkan program Pembiayaan dan Dasar Kesihatan yang mengkaji strategi pembiayaan mampan, perlindungan kesihatan sejagat, kerjasama awam-swasta dan penyampaian penjagaan berasaskan nilai.

Dalam pada itu, program Kesihatan Digital dan Integrasi AI pula menonjolkan kemajuan dalam AI, penyelesaian kesihatan digital, pengkomputeran awan dan impaknya terhadap penjagaan pesakit serta aksesibiliti penjagaan kesihatan.

SEACare 2025 mentakrifkan semula acara perdagangan kesihatan dengan menggabungkan perniagaan dengan impak sosial selain inovasi yang dipacu oleh pelaburan.

Dengan kerjasama dengan NCSM, ia merupakan acara perdagangan kesihatan pertama di Malaysia yang mendedikasikan sebahagian daripada hasilnya bagi menyokong penjagaan dan kesedaran kanser serta mengukuhkan komitmen acara bagi memacu kemajuan kesihatan melangkaui kepentingan komersial.

Untuk mendaftar, sila layari laman sesawang https://training.cancer.org.my/seacare-registration-form/.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan