AM > BERITA

Permohonan Permit Rentas Sempadan Kenderaan Barangan ASEAN Kini Dibuka - APAD

20/03/2025 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Permohonan permit Rentas Sempadan Kenderaan Barangan ASEAN (AGVCB) bagi pengoperasian di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Kemudahan Pengangkutan Antara Negara (AFAFIST) yang bermula 6 April depan, kini boleh dikemukakan secara dalam talian.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengendali kenderaan barangan yang berkelayakan boleh mengemukakan permohonan menerusi pautan https://iportal.ispkp.gov.my.

APAD memaklumkan menerusi perjanjian AFAFIST itu, pengendali berlesen dan berkelayakan berpeluang untuk menjalankan operasi rentas sempadan melibatkan pergerakan kenderaan barangan merentasi sempadan antara dua negara anggota ASEAN yang bersebelahan.

“Ini antara langkah strategik untuk mengukuhkan integrasi ekonomi di rantau ASEAN. Dengan memudahkan pergerakan kenderaan barangan, perjanjian ini membantu mengurangkan halangan perdagangan, meningkatkan kecekapan logistik dan perdagangan antara negara ASEAN.

“Perjanjian ini mencerminkan komitmen negara ASEAN untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, APAD menggalakkan pengendali berkelayakan untuk mengemukakan permohonan agar dapat memperkukuh kelancaran perdagangan dan logistik antara negara ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi membolehkan kenderaan barangan pengendali pengangkutan Malaysia yang berkelayakan untuk memohon permit AGVCB, APAD memaklumkan pengendali berlesen di negara ini adalah dikecualikan daripada pemakaian had berat maksimum dengan muatan dibenarkan.

“Ia seperti dinyatakan dalam Jadual Pertama kepada Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Peredaran Antarabangsa) (Kenderaan Barangan Rentas Sempadan ASEAN) 2023,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan tempoh pengecualian adalah sehingga 2 Mac 2028.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan