IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Prestasi kutipan bayaran balik pembiayaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sangat memberangsangkan, kata Pengerusi Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila.
Beliau berkata walaupun terdapat peminjam yang menghadapi masalah kewangan untuk membayar pembiayaan rumah berkenaan, ia tidak memberi kesan yang begitu besar.
“Sebenarnya bayaran balik (pembiayaan RMR) kita gunakan semula untuk membina RMR di kawasan lain bagi membantu rakyat mempunyai kediaman mereka sendiri.
“Kita sentiasa memahami kemampuan mereka kerana ada antaranya mempunyai masalah kesihatan atau kekangan kewangan. Kita sentiasa melihat sama ada mereka mampu untuk membayar semula atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sumbangan Amal Ramadan 2025 dan Penyerahan Surat Tawaran Program RMR Negeri Perak, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching di sini hari ini.
Program RMR diperkenalkan SPNB sejak 2002 dan sehingga kini sebanyak 69,848 RMR dibina di seluruh negara dengan 7,355 unit daripadanya dibina di Perak.
Harga bagi setiap unit RMR yang dibangunkan adalah RM75,000 dan setiap unit mendapat subsidi pembinaan RM20,000 dengan kadar bayaran RM300 sebulan membabitkan tempoh bayaran selama 16 tahun.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata 5,450 unit RMR akan dibina pada tahun ini dan 849 unit RMR dibina di Perak dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM63.67 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial