AM > BERITA

Perintah Perakuan Dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor Dikuatkuasa April Ini

20/03/2025 02:13 PM

MELAKA, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 bermula 7 April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang itu dilakukan bagi mengekang penjualan minyak enjin kenderaan motor tiruan di pasaran.

"Perintah baharu ini akan membolehkan pengguna mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen di pasaran sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan di pasaran yang boleh membawa risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.

"Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk tidak tulen oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 di Petronas Melaka Lube Blending Plant, Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Roziah Abudin, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam, Pengerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd Datuk Omar Shariff Mydeen serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International Sdn Bhd Khalil Muri.

Armizan berkata mana-mana produk minyak enjin sama ada dihasilkan dalam negara mahupun diimport, perlu mendapat perakuan tulen menerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd yang dilantik sebagai pihak bertanggungjawab memperaku dan mengeluarkan label pematuhan produk bagi tujuan itu.

Beliau berkata kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada syarikat pengeluar untuk mematuhi arahan berkenaan dengan perintah pewartaan bermula pada 11 Okt 2024.

"KPDN dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan program libat urus sejak 2022 melibatkan hampir kesemua pemain utama dalam industri minyak enjin kenderaan motor di negara ini.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual yang menjual produk tidak diperaku dan tiada label pematuhan sah daripada pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya 240 aduan berkaitan produk minyak enjin kenderaan motor diterima pihaknya bermula Januari 2019 hingga Februari tahun ini dengan 36 tindakan kes telah diambil melibatkan nilai rampasan RM1,154,198.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan