AM > BERITA

Wakaf MARA MADANI Catat Kutipan RM51.6 Juta Suku Pertama 2025 - Ahmad Zahid

20/03/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Inisiatif Wakaf MARA MADANI, yang dilancarkan bagi memperkukuh kedudukan sosioekonomi Melayu dan bumiputera, mencatat kutipan mencecah RM51.6 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kutipan berkenaan adalah hasil sumbangan daripada 1,845 penyumbang.

Pengerusi Bersama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 itu berkata sewaktu pelancaran wakaf berkenaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, sebanyak 1,114 penyumbang tampil menyumbang, dengan kutipan mencecah RM201,168.

"Angka ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif ini sebagai pemacu perubahan ekonomi bumiputera yang mampan. Sebagai dana mauquf, sumbangan wakaf tunai ini perlu dikembangkan secara strategik bagi memastikan manfaatnya berterusan dan berimpak tinggi.

"Insya-Allah, agihan keuntungan daripada pengembangan wakaf ini dijangka bermula seawal Julai 2025," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata untuk fasa awal pelaksanaan Wakaf MARA MADANI, manfaat wakaf akan disalurkan ke pelbagai sektor utama termasuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan serta pembangunan aset wakaf.

Beliau berkata antara inisiatif utama ialah bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi, khususnya bagi sesi kemasukan Julai 2025.

"Sebagai menteri yang diberi amanah, saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dan menyokong inisiatif ini. Setiap ringgit diwakafkan bukan sekadar membantu golongan memerlukan, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

"Saya menyeru lebih ramai pihak khususnya individu, sektor korporat, NGO (badan bukan kerajaan), dan seluruh masyarakat untuk menyertai gelombang kebaikan ini. Semakin ramai yang berwakaf, semakin luas manfaat yang dapat kita sebarkan kepada umat dan negara," katanya.

Ahmad Zahid pada masa sama menzahirkan keyakinan bahawa Wakaf MARA MADANI akan menjadi pemacu kejayaan ekonomi bumiputera yang lestari, inklusif serta penuh keberkatan, didukung oleh pengurusan telus, strategi jelas dan sokongan padu daripada semua pihak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan