KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman yang disambut hari ini, merupakan satu hari yang amat penting dalam usaha global untuk menegakkan prinsip keadilan sosial, kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman bukan sekadar memperingati perjuangan menentang diskriminasi, malah ia juga melambangkan komitmen teguh masyarakat dunia dalam membasmi insiden perkauman, penghinaan kaum serta prasangka yang boleh menggugat keharmonian sosial.
“Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, Malaysia sentiasa menitikberatkan nilai perpaduan dan saling menghormati. Kepelbagaian ini menjadi aset penting dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara kekal terjamin,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Rasisme Malaysia 2024.
Dalam usaha memperkukuh perpaduan, Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah memperkenalkan Dasar Perpaduan Negara sebagai garis panduan utama, bagi membentuk masyarakat yang harmoni dan inklusif dengan pendekatan baharu iaitu Harmoni Dalam Kepelbagaian dan Pembinaan Negara Bangsa Progresif.
“Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) tahun 2022 mencatat nilai 0.629, menunjukkan perpaduan nasional berada pada tahap sederhana dan terkawal.
“10 defisit sosial yang perlu diberikan perhatian ialah etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik, federalisme, media dan ruang bandar-desa,” katanya.
Selain itu, Aaron turut menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama menolak sikap prejudis, stereotaip negatif, dan sebarang bentuk ketidakadilan yang berasaskan kaum atau agama, kerana diskriminasi dalam apa jua bentuk tidak seharusnya wujud dalam masyarakat negara ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa diskriminasi dalam apa jua bentuk tidak seharusnya wujud dalam masyarakat kita. Ia hanya akan merosakkan asas perpaduan yang telah kita bina selama ini.
“Sempena Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman ini, marilah kita menanam tekad untuk membina Malaysia MADANI yang lebih bersatu-padu, inklusif dan harmoni. Bersama-sama kita memastikan bahawa generasi akan datang mewarisi negara yang bebas daripada segala bentuk diskriminasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial