AM > BERITA

P.Pinang Mohon Sumbangan Korporat Untuk Skim Biasiswa PFF

20/03/2025 06:49 PM

GEORGE TOWN, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang merayu sumbangan kewangan daripada sektor swasta untuk menyokong program biasiswa Yayasan Masa Depan Pulau Pinang (PFF), yang berkemungkinan berdepan kekurangan pembiayaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata PFF kini berjumlah kurang daripada RM5 juta yang hanya cukup untuk memberi manfaat kepada penerima biasiswa bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Kami tidak mahu mengurangkan jumlah penerima walaupun tahun ini (penerima) memang kurang kerana dana yang terhad jadi kami merayu industri supaya menyumbang kepada skim ini kerana ia turut memberi manfaat kepada industri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

PFF yang diperkenalkan 10 tahun lepas telah memberi manfaat kepada 805 mahasiswa.

Menurut Chow, kerajaan negeri juga mungkin perlu menambah sebahagian dana bagi membolehkan biasiswa itu terus memberi faedah kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi, perakaunan dan matematik (STEAM).

Beliau berkata skim berkenaan ialah usaha kerajaan untuk mengekalkan bakat di Pulau Pinang kerana ia mengikat penerima biasiswa untuk bekerja di negeri itu selama dua hingga lima tahun selepas tamat pengajian.

Bagaimanapun katanya sukar bagi kerajaan negeri untuk terus menyediakan kumpulan bakat ini memandangkan usaha itu memberikan tekanan kewangan ke atas sumber negeri yang terhad.

“Walaupun kami berhasrat untuk meneruskan inisiatif ini selama mungkin, saya memohon kemurahan hati pemain industri utama di Pulau Pinang untuk tampil ke hadapan dan menyumbang bagi memastikan PFF kekal sebagai talian hayat bagi pelajar yang layak,” katanya.

Hasil daripada PFF, Chow berkata ramai graduan kini bekerja dalam industri di Pulau Pinang dan ada juga yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan ditetapkan.

Antara 2015 dan 2024, sejumlah RM44.5 juta diagihkan kepada 805 pelajar dan tahun lepas sahaja, PFF memberi biasiswa bernilai RM2.71 juta kepada 54 pelajar.

Biasiswa PFF terbuka kepada mahasiswa yang belajar dalam jurusan STEAM kecuali perubatan.

Penerima akan terikat untuk bekerja di mana-mana syarikat atau organisasi di Pulau Pinang antara dua hingga lima tahun selepas tamat pengajian bergantung kepada dana yang diterima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan