DUNIA > BERITA

MALAYSIA TERSENARAI DALAM 10 DESTINASI PERSARAAN TERBAIK DUNIA

21/03/2025 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Malaysia mengukuhkan reputasinya sebagai satu daripada 10 negara terbaik untuk persaraan bagi 2025 oleh International Living, menduduki tempat ketujuh dalam Annual Global Retirement Index terbitan majalah itu.

Senarai yang dinanti-nantikan itu dikeluarkan baru-baru ini oleh majalah yang berpangkalan di Ireland, menilai 20 negara berdasarkan beberapa faktor utama termasuk kos sara hidup, penjagaan kesihatan, pilihan visa dan pemastautin, iklim, tadbir urus serta gaya hidup.

Malaysia dan Thailand merupakan dua negara di Asia Tenggara yang tersenarai dalam kelompok 10 teratas, dengan Thailand berada di kedudukan ke-10.

Laporan itu menekankan daya tarikan Malaysia kepada pesara asing berikutan faktor kos sara hidup yang rendah, infrastruktur yang baik serta kepelbagaian budaya yang unik.

“Malaysia menawarkan gabungan luar biasa antara kos yang berpatutan, kemudahan perubatan bertaraf tinggi dan budaya yang kaya, menjadikannya destinasi yang mudah diakses dan memberi pengalaman bermakna kepada pesara,” menurut laporan itu.

Di Kuala Lumpur, kadar sewa jauh lebih rendah berbanding bandar utama di Barat, dengan sebuah pangsapuri satu bilik boleh disewa pada harga antara US$300 hingga US$500 sebulan, manakala kos utiliti sekitar US$40 hingga US$60.

Kos makan di luar juga sangat berpatutan, dengan hidangan tempatan boleh dinikmati serendah US$2 hingga US$3.

Sementara itu, bandar seperti Pulau Pinang dan Melaka menawarkan kos sara hidup yang lebih berbaloi dengan suasana yang lebih santai, menjadikannya lokasi persaraan yang menarik.

Laporan itu turut memuji iklim tropika Malaysia dengan suhu sepanjang tahun antara 25 hingga 35 darjah Celsius.

Ditambah dengan kemudahan moden dan populasi yang fasih berbahasa Inggeris, peralihan bagi pesara asing menjadi lebih mudah.

Pilihan visa jangka panjang seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) juga diiktiraf sebagai antara kelebihan bagi warga asing yang ingin bersara di Malaysia.

Panama menduduki tempat teratas dalam indeks 2025, diikuti Portugal, Costa Rica, Mexico, Perancis dan Sepanyol. Negara lain dalam kelompok 10 teratas termasuk Greece dan Itali.

Laporan penuh boleh layari: https://internationalliving.com/the-best-places-to-retire/

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan