KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Sempena meraikan bulan Ramadan dan Aidilfitri, pusat beli-belah Alamanda meraikan 41 kanak-kanak dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (YAYAKEM) untuk merasai pengalaman membeli-belah raya dan sesi berbuka puasa semalam.
Alamanda dalam kenyataan memaklumkan kanak-kanak berusia antara 9 dan 12 tahun itu berpeluang memilih sendiri pakaian dan kasut baharu untuk hari raya, hasil tajaan rakan runcit termasuk Bata, selain turut menerima sumbangan ‘duit raya’ daripada Alamanda dan penyewa TUCZ.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata sebagai destinasi membeli-belah utama di Putrajaya, Alamanda komited untuk memupuk rasa belas kasihan dan semangat kemasyarakatan dengan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat membawa kegembiraan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik yang mungkin tidak berpeluang merasai Ramadan dan Syawal seperti orang lain,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua YAYAKEM Muhammad Hanafi Jalalludin merakamkan penghargaan kepada Alamanda kerana menjadikan sambutan itu sangat bermakna.
Dalam kenyataan itu, Alamanda turut mengumumkan bahawa kempen Hari Raya 2025 mereka menampilkan hiasan diinspirasikan daripada seni bina Maghribi di Centre Court, dengan warna biru diraja dan emas.
Pengunjung boleh menikmati persembahan Zapin dan tarian Arab pada hujung minggu serta menyertai bengkel Lukisan Kaca Maghribi eksklusif VIKids.
“Pelanggan yang berbelanja RM700 dan ke atas akan menerima satu set paket raya dan balang kuih kaca, manakala mereka yang berbelanja RM1,500 dan ke atas juga akan menikmati e-baucar Alamanda bernilai RM50,” menurut kenyataan itu.
Kempen itu turut menyokong kesedaran kesihatan mental melalui penjualan Pin Reben Hijau sepanjang tempoh promosi.
Untuk maklumat lanjut, lawati www.alamanda.com.my atau www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial