SUKAN > BERITA

NURUL IZZAH REHAT PANJANG PULIH KECEDERAAN

22/03/2025 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berpeluang untuk berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika menyertai Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye minggu lepas.

Beliau berkata buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang kejohanan sehingga Mei dan masa yang ada akan dimanfaatkannya untuk sesi pemulihan dan berehat sebelum menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan dari 20 hingga 25 Mei ini.

“Keseluruhan semua pemulihan cukup, luka sudah mula kering kaki sudah mula baik dan saya sudah pergi Institut Sukan Negara (ISN) untuk periksa dan tiada yang teruk. Selepas di Turkiye minggu lepas, kejohanan lambat lagi dalam bulan Julai baru ada kejohanan yang besar.

“Kejohanan seterusnya kejohanan kebangsan bulan Mei. Sekarang saya fokus pemulihan, jadual di luar musim jadi saya cuti sampai raya, saya ada latihan sendiri,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Nurul Izzah berdepan detik malang di Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye minggu lepas apabila terjatuh selepas berlanggar dengan Makaira Wallace dari Trinidad dan Tobago ketika cuba memintas lawannya itu.

Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu dilihat terbaring di trek dan tidak dapat meneruskan kayuhan, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan, manakala Wallace mengakhiri saingan di tempat ketiga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan