AM > BERITA

Takaful Ikhlas Lancar Pelan Ikhlas Lestari, Sokong Pembangunan Komuniti

22/03/2025 09:49 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat MNRB Holdings Berhad hari ini melancarkan pelan tambahan IKHLAS Lestari, bertujuan memberi peluang kepada masyarakat menyumbang kepada pembangunan komuniti secara mampan dan patuh syariah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Bhd Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata IKHLAS Lestari, adalah sebahagian inisiatif IKHLAS Barakah House (IBH), platform pengumpulan dana patuh syariah yang menyokong Perantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBiT).

“IKHLAS Lestari ini diperkenalkan sebagai penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran sosial, isu-isu alam sekitar dan mempromosikan amalan lestari.

“Dengan sumbangan serendah RM10 sebulan, masyarakat boleh turut serta bersama Takaful IKHLAS dan IBH, dalam menyumbang kepada pembangunan sosial yang inklusif dan mampan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pelan IKHLAS Lestari di IKHLAS Point, Bangsar, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Takaful IKHLAS Datuk Johar Che Mat, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin dan Ketua Bahagian (Perkhidmatan), Majlis Kanser Nasional (MAKNA) Imelda Suhanti Ishak. 

Wan Ahmad Najib berkata dana yang dikumpul melalui pelan ini akan disalurkan kepada lima bidang utama iaitu pendidikan, ekonomi, komuniti, kesihatan, dan alam sekitar.

“Dengan menyertai IKHLAS Lestari, peserta akan dapat menyumbang kepada IBH dan inisiatif kelestarian sosial, disamping menikmati perlindungan takaful melalui pelan perlindungan asas yang disertai. 

“Bagi merancakkan aktiviti promosi IKHLAS Lestari dalam kalangan masyarakat, pada hari ini kami juga memperkenalkan Skuad Lestari yang merangkumi warga kerja serta agensi Takaful IKHLAS,” katanya. 

Wan Ahmad Najib berkata Skuad Lestari ini akan berada di sekitar ibu kota sebelum ke seluruh negara bagi memperkenalkan IKHLAS Lestari kepada orang ramai, selain mewakili Takaful IKHLAS dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Semasa majlis pelancaran pelan berkenaan, Takaful IKHLAS turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada MAKNA, sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kanser. 

“Dana yang terkumpul melalui IKHLAS Lestari tahun ini akan disalurkan kepada hospital sebagai bantuan tambahan untuk rawatan dan penjagaan khusus penyakit kanser kanak-kanak,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai IKHLAS Lestari, layari laman sesawang rasmi Takaful IKHLAS di www.takaful-ikhlas.com.my serta hubungi melalui Wakil Perunding Takaful IKHLAS dan cawangan Takaful IKHLAS di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan