AM > BERITA

Takaful Ikhlas Santuni Keluarga Asnaf, Bantu Ringankan Beban Sambut Syawal 

22/03/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Ramadan kali ini membawa sinar buat enam keluarga asnaf terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Bangsar, di sini yang menerima sumbangan hari raya, bukan setakat untuk persiapan Aidilfitri, malah bagi menyelesaikan bayaran sewa bulanan rumah mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata ia merupakan inisiatif di bawah IKHLAS Lestari, pelan baharu dilancarkan Takaful IKHLAS bertujuan memberi sokongan berterusan kepada golongan memerlukan.

“Diharapkan inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka yang memerlukan, serta dapat membantu dalam persiapan menyambut kedatangan Syawal,”  katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran IKHLAS Lestari di IKHLAS Point, Bangsar di sini, semalam.

Terdahulu Wan Ahmad Najib bersama Presiden dan KPE Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin, serta Presiden dan KPE Malaysian Reinsurance Berhad Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf, diringi Skuad Lestari bersama-sama menziarahi keenam-enam keluarga untuk memberi sumbangan berkenaan. 

Selain bantuan bagi persiapan hari raya dan bayaran sewa bulanan rumah, turut diberikan ialah bantuan bayaran perubatan, peralatan elektrik, barangan dapur serta duit raya.

Berlandaskan prinsip tolong-menolong yang menjadi teras konsep takaful, Wan Ahmad Najib berkata program ini bukan sahaja membuka ruang peserta Takaful IKHLAS berbakti kepada masyarakat, tetapi juga mengeratkan silaturahim antara Takaful IKHLAS dan komuniti, selari semangat kebersamaan dan keprihatinan yang ingin dipupuk.

Sementara itu penerima sumbangan Hamidah Kamarudin, 61, menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterimanya setelah sekian lama menunggu sokongan untuk membantu perniagaannya.

"Saya sangat gembira dan terharu dapat bantuan yang saya perlukan. Saya terima banyak tempahan acar limau nipis, tapi tiada tempat untuk simpan barang makanan dekat peti sejuk.

“Jadi dengan ada bantuan-bantuan dan ‘freezer’ ini, ia dapat bantu saya dan keluarga,” katanya kepada Bernama. 

Beliau yang juga ibu kepada tiga orang anak menjalankan perniagaan makanan. Selain bantuan peti sejuk, beliau turut menerima bantuan sewa rumah, kerusi roda, dan persiapan Hari Raya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan